Dalam artikel ini kami akan kongsikan info mengenai Contoh karangan kebaikan gotong royong & isi penting
Lain: Contoh Karangan Faedah Membaca & Isi penting
Isi Penting Kebaikan Gotong Royong
Berikut adalah isi penting kebaikan gotong royong:
1. Memudahkan Kerja yang Dilakukan
- Membuat kerja secara gotong royong akan menjadikan kerja tersebut lebih senang.
- Contohnya, majlis perkahwinan biasanya dibuat secara gotong royong.
- Penduduk kampung lazimnya akan membantu tuan rumah khususnya dalam kerja memasak dan mendirikan khemah.
- Membantu memudahkan tuan rumah yang menganjurkan majlis perkahwinan tersebut.
2. Menjimatkan Masa dan Tenaga
- Kerja yang dilakukan akan mengambil masa yang lebih singkat jika dilakukan secara gotong royong.
- Contohnya, gotong royong dalam membersihkan kawasan balai raya atau sekolah.
- Pembersihan kawasan balai raya atau sekolah dapat dilakukan dengan cepat apabila dilakukan secara bergotong royong berbanding berseorangan.
- Secara tidak langsung menjimatkan masa dan tenaga.
3. Memupuk Nilai-Nilai Murni
- Nilai-nilai murni ini amat penting dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab.
- Contohnya, aktiviti gotong royong dapat memupuk nilai bekerjasama, bertolak ansur, dan rajin.
- Ibu bapa boleh memupuk nilai-nilai ini kepada anak mereka menerusi amalan gotong royong bagi memastikan mereka dapat mengamalkan nilai tersebut pada masa akan datang.
4. Mengeratkan Perpaduan Kaum
- Perpaduan kaum amat penting dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
- Contohnya, dengan mengadakan gotong royong bagi menjayakan Program Sambutan Bulan Kemerdekaan, perpaduan masyarakat akan terjalin secara langsung atau secara tidak langsung.
- Pelbagai kaum dan peringkat umur akan bersama-sama untuk bekerjasama bagi menjayakan program tersebut.
Contoh Karangan Kebaikan Gotong Royong
i) PENDAHULUAN
Mengikut Kamus Dewan, aktiviti gotong royong bermaksud tolong-menolong atau mengerjakan sesuatu kerja bersama-sama. Aktiviti gotong royong masih banyak diadakan di kampung-kampung namun kurang dilakukan di bandar pada masa ini. Aktiviti gotong royong ini perlu dihidupkan kembali dalam masyarakat di negara kita. Terdapat beberapa kebaikan amalan gotong royong jika diamalkan dalam kehidupan seharian.
ii) ISI 1: MEMUDAHKAN KERJA YANG DILAKUKAN
Kebaikan pertama amalan gotong royong ialah dapat memudahkan kerja yang dilakukan. Dengan membuat kerja secara gotong royong, kerja yang dilakukan akan lebih senang. Sebagai contoh, di kampung, majlis perkahwinan biasanya dibuat secara gotong royong. Penduduk kampung lazimnya akan membantu tuan rumah khususnya dalam kerja memasak dan mendirikan khemah. Ini sekaligus dapat membantu memudahkan tuan rumah yang menganjurkan majlis perkahwinan tersebut.
iii) ISI 2: MENJIMATKAN MASA DAN TENAGA
Selain itu, amalan gotong royong juga dapat menjimatkan masa dan tenaga. Kerja yang dilakukan akan mengambil masa yang lebih singkat jika dilakukan secara gotong royong. Contohnya, gotong royong dalam membersihkan kawasan balai raya atau sekolah. Pembersihan kawasan balai raya atau sekolah dapat dilakukan dengan cepat apabila dilakukan secara bergotong royong berbanding melakukannya secara berseorangan. Apabila kerja yang dilakukan dapat disiapkan dengan cepat, secara tidak langsung kita dapat menjimatkan masa dan tenaga.
iv) ISI 3: MEMUPUK NILAI-NILAI MURNI
Di sampng itu, aktiviti gotong royong juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan kita. Nilai-nilai murni ini amat penting dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab. Sebagai contoh, aktiviti gotong royong dapat memupuk nilai bekerjasama, bertolak ansur dan rajin. Ibu bapa boleh memupuk nilai-nilai ini kepada anak mereka menerusi amalan gotong royong bagi memastikan mereka dapat mengamalkan nilai tersebut pada masa akan datang. Ini dapat melahirkan masyarakat yang harmoni menerusi penerapan nilai-nilai murni melalui amalan gotong royong.
v) ISI 4: MENGERATKAN PERPADUAN KAUM
Aktiviti gotong royong juga dapat mengeratkan perpaduan kaum sesama masyarakat. Perpaduan kaum amat penting dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Contohnya, dengan mengadakan gotong royong bagi menjayakan Program Sambutan Bulan Kemerdekaan, perpaduan masyarakat akan terjalin secara langsung atau secara tidak langsung. Pelbagai kaum dan peringkat umur akan bersama-sama untuk bekerjasama bagi menjayakan program tersebut. Oleh kerana itu, perpaduan kaum akan dapat dieratkan menerusi amalan gotong royong.
vi) PENUTUP
Sebagai kesimpulan, aktiviti gotong royong mempunyai banyak faedah kepada masyarakat dan negara. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa ‘muafakat membawa berkat’. Dari satu sudut, pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan yang penting dalam memupuk amalan gotong royong melalui kempen yang diadakan di teleyisyen dan surat khabar secara berterusan. Selain itu, semua pihak mestilah memainkan peranan dengan mengamalkan budaya bergotong royong dalam kehidupan seharian.
Diharapkan info kebaikan gotong royong di atas ini dapat memberikan anda maklumat baru yang berguna
Sumber: Kebaikan Gotong Royong: Isi Penting & Contoh Karangan (ecentral.my)