Ibadah Korban : Niat, Syarat, Sunat & Pembahagian Daging

Dalam artikel ini kami akan kongsikan info mengenai Ibadah Korban : Niat, Syarat, Perkara Sunat, Pembahagian Daging

Info: Koleksi Resepi Daging Yang Mudah Dan Sedap

Maksud Ibadah Korban

Ibadah korban bermaksud penyembelihan binatang ternakan tertentu pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Ibadah ini mengingatkan umat Islam akan ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang bersedia mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS atas perintah Allah SWT.

Niat Korban

Niat korban terhasil dengan dua cara iaitu:

1. Pemilik atau peserta korban berniat sendiri.

Peserta korban boleh berniat dalam beberapa keadaan:

  1. Ketika mengasingkan haiwan dari haiwan miliknya di kandang atau ketika akad jual beli. Maka dia berniat “Haiwan yang aku asingkan ini ialah untuk korban.” Atau “Haiwan aku beli ini ialah untuk korban.”
  2. Ketika dia menyembelih haiwan korbannya (sembelih sendiri).
  3. Ketika haiwan korban sedang disembelih (disembelih oleh wakil).
  4. Ketika bernazar dengan menentukan secara khusus haiwan miliknya yang akan dikorbankan.

2. Niat oleh wakil iaitu berlaku dalam dua keadaan:

  1. Peserta mewakilkan tukang sembelih berniat bagi pihaknya ketika sembelih.
  2. Peserta mewakilkan seseorang untuk berniat bagi pihaknya ketika wakilnya itu menyerahkan haiwan kepada tukang sembelih.

Hukum Melakukan Ibadah Korban

Hukum ibadah korban ialah sunat muakkad dan sunat kifayah.

Sunat muakkad bermaksud sekiranya seseorang itu mempunyai lebihan harta dari keperluan dirinya dan keluarga yang ditanggungnya pada siang hari raya haji dan malamnya serta hari-hari tasyriq tetapi dia tidak melakukan korban maka hukumnya adalah makruh.

Sunat kifayah sekiranya isi rumah lebih dari seorang dan mereka adalah di bawah tanggungan wajib salah seorang dari mereka maka jika korban dilakukan oleh salah seorang dari mereka yang mukallaf maka gugur tuntutan dari yang lain dan gugur hukum makruhnya. Namun pahala korban hanya akan diperoleh oleh orang yang melakukan korban melainkan sekiranya dia meniatkan pahala untuk orang yang lain.

Syarat Sah Berkorban

Syarat sah korban hendaklah melakukan dua perkara:

  1. Niat untuk taqarrub diri kepada Allah SWT.  Waktu niat korban adalah semasa menyembelih atau semasa membeli ternakan korban. 
  2. Memilih ternakan korban yang boleh dikongsi bahagian seperti unta, lembu dan kerbau jika ingin berkongsi tujuh orang.  Manakala kambing atau biribiri dikhususkan untuk seorang yang mewakili satu bahagian.

Syarat Sah Haiwan Korban

Terdapat 4 syarat sah haiwan korban, iaitu:

  1. Haiwan ternakan sahaja
  2. Sihat dan bebas daripada sebarang penyakit
  3. Tidak cacat
  4. Minimum umur haiwan ternakan yang dibenarkan untuk korban.

Jenis Korban

Korban terbahagi kepada dua jenis, iaitu:

  1. Korban nazar (wajib)
  2. Korban sunat

Status Hukum Daging Korban

Hukum berkaitan daging korban terbahagi kepada beberapa status seperti yang berikut: 

  1. Haram memakan daging bagi orang yang melakukan korban nazar (wajib) dan juga ahli keluarga di bawah tanggungannya walaupun sedikit sebagaimana juga haram memberikan daging korban tersebut kepada orang bukan Islam. 
  2. Hukum pemberian daging korban sunat kepada orang bukan Islam adalah haram menurut pandangan ulama mazhab Syafi’i. 
  3. Bahagian atau anggota sembelihan korban tidak harus dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah melakukan sembelihan, kecuali bahagian atau anggota tersebut diberikan oleh individu yang melakukan korban.
  4. Sunat bagi individu yang melakukan korban sunat (tatawu’) memakan daging korbannya.

Hukum Menyimpan Daging Korban Lebih Dari 3 Hari

HUKUM MENYIMPAN DAGING KORBAN LEBIH DARI 3 HARI adalah:

  • Pendapat Ali RA dan Ibn Umar RA: Tidak boleh menyimpan daging korban melebihi 3 hari.
  • Pendapat Jumhur Ulama : Dibolehkan untuk menyimpan daging korban melebihi 3 hari dan hadis mengenai larangannya itu telah dimansuhkan.

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah:
Rasulullah SAW melarangnya kerana pada waktu itu telah berlakunya musim kelaparan dan tujuan larangan tersebut adalah untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.

Larangan menyimpan daging lebih dari 3 hari adalah berdasarkan keadaan hidup yang sempit dan susah ketika itu. Kemudian hadis larangan tersebut telah dimansuhkan hukumnya kerana keadaan telah berubah kepada lebih baik.

Pembahagian Daging Qurban

Pembahagian daging korban terbahagi kepada dua jenis, iaitu sembelihan korban wajib (nazar) dan sembelihan sunat seperti yang berikut:

Pembahagian daging korban wajib atau nazar

Wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, dan haram bagi pihak orang yang berkorban memakan daging korbannya atau memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya.

Pembahagian daging korban sunat: 

Menurut pandangan ulama mazhab Syafi’i:

(i) 1/3 untuk dimakan oleh pihak yang berkorban dan ahli keluarganya; 

(ii) 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin; 

(iii) 1/3 untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.

NOTA:

 Sebelum melaksanakan pengagihan daging korban, tindakan pertama yang wajib dilakukan ialah mengasingkan antara daging bahagian korban wajib daripada daging bahagian korban sunat sebelum diagihkan kepada penerima.

Perkara Sunat Ketika Melakukan Ibadah Korban

  • Menambat ternakan korban menjelang Hari Nahar. 
  • Memberi makanan kepada haiwan korban sebelum disembelih. 
  • Memastikan haiwan tersebut tidak makan makanan yang syubhah seperti makan rumput di kawasan yang bukan milik tuan haiwan korban. 
  • Meletakkan tanda serta menutup tubuh haiwan korban supaya dapat merasakan kepentingan korban. Melakukan penyembelihan korban dengan sendiri. 
  • Membaca Bismillah. 
  • Berselawat ke atas Nabi SAW. P
  • Penyembelih dan haiwan mengadap ke arah qiblat. 
  • Memilih haiwan ternakan yang paling baik. 
  • Menunggu haiwan yang disembelih itu sehingga sejuk dan semua anggotanya tidak bergerak lagi atau benar-benar mati dan baharulah dilapah. 
  • Orang yang melakukan korban disunatkan tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga dia telah selesai berkorban.

Perkara Makruh Dalam Ibadah Korban

  • Melakukan qurban ke atas haiwan yang carik telinganya atau terpotong sedikit di belakang telinganya.
  • Memotong bulu haiwan yang hendak diqurbankan bagi tujuan kegunaan sendiri jika boleh memudaratkannya. 
  • Melakukan qurban ke atas haiwan yang pecah atau patah tanduknya, atau tiada bertanduk. 
  • Memerah susu haiwan yang hendak dijadikan qurban dan meminumnya kecuali disedekahkan susu tersebut.
  • Memotong kuku dan bercukur bagi orang yang berniat qurban. 
  • Melakukan sembelihan qurban pada waktu malam.

Diharapkan info ibadah korban di atas ini dapat memberikan anda maklumat baru yang berguna

Sumber: Ibadah Korban: Niat, Syarat, Perkara Sunat, Pembahagian Daging (ecentral.my)