Kenapa Cili Guna Lesung Batu Lebih Sedap Dari Guna Blender?

Kalau kita makan sambal daripada cili yang digiling guna lesung batu, anda pasti perasan rasa pedas dan enak dia lebih ‘kaw’ berbanding yang dikisar guna mesin blender. Kenapa ya?

Sebenarnya, persoalan ini ada jawapannya daripada sudut saintifik. Mari ikuti perkongsian oleh petugas makmal, Mohd Azizul Osman dalam group Facebook Suami Masak Apa Hari Ini (SMAHI) baru-baru ini.

Semalam isteri minta nasi goreng pedas. Jadi, pagi ni ‘pongpang-pongpang’ la menumbuk cabai (cili) memecah keheningan pagi.

Sekadar nak berkongsi pendapat terhadap persoalan: kenapa tak kisar je pakai blender, kan senang?

Senang tapi tak ‘power’. Takdak ‘flying kick’ atau sepak terajangnya.

Dulu kat makmal bakteriologi, aku guna pestle dan mortar untuk keluarkan intracellular bacteria macam Brucella atau Coxiella burnettii dari dalam sampel tisu.

Sekarang di makmal virologi pun masih guna pestle dan mortar untuk isolasikan virus. Samalah juga untuk keluarkan segala komponen dalam sel cabai dan bawang.

Unsur-unsur seperti cellulose microfibrils, hemicellulose, pectin, lignin, soluble protein dan lain-lain akan keluar dengan sempurna.

Sementalahan capsaicin (8-methyl-N-vanillyl-6-nenonamide) dalam cabai yang sangat berkhasiat akan teradun dengan sempurna.

Ianya tak berlaku sepenuhnya dengan blender sebab blender hanya akan cincang atau potong kepada cebisan-cebisan kecil saja.

Jadi, gunalah lesung batu untuk lebih sedap dan lebih memikat isteri. Tu je nak kongsi.

Sumber: Mohd Azizul Osman