Kucing adalah antara haiwan peliharaan paling popular yang banyak dipelihara oleh ramai orang di rumah. Hal ini disebabkan oleh sifatnya yang manja disamping perangai peliknya seperti kucing sangat gemar dengan kotak tidak kira besar atau kecil sehinggakan sanggup tidur di dalam kotak yang kecil.
Sebab Kucing Suka Kotak
Persoalan timbul di sini kenapa kucing suka kotak? Adakah ianya secara kebetulan sahaja atau sebaliknya? Menurut doktor haiwan dan pakar biologi, beberapa kajian pernah dibuat dan antara keputusan dari kajian tersebut adalah seperti berikut.
Kotak Buat Kucing Rasa Selamat
Kucing merupakan spesis haiwan pemburu. Naluri memburu yang dimiliki oleh kucing diimbangi dengan naluri ingin berasa selamat pada setiap masa.
Manakala, kotak pula mempunyai ruang tertutup yang dianggap mampu membuat si kucing berasa selamat daripada sebarang ancaman.
Kotak Tempat Tidur Selesa
Menurut beberapa kajian yang dibuat, kucing mampu tidur sehingga 18 jam sehari lamanya. Untuk memenuhi rasa ngantuknya, kucing perlu mencari tempat tidur yang terbaik.
Dengan adanya kotak bertekstur empuk dan hangat, pasti kucing akan tidur dengan nyenyak dan mungkin tidak mahu bangun dalam kotak tersebut.
Kotak Kurangkan Tekanan
Seperti manusia, kucing juga mengalami pelbagai peringkat tekanan. Banyak faktor yang menjadi punca tekanan pada kucing.
Namun, ianya tidaklah seperti manusia dimana kucing tidak berupaya menangani tekanan dan konflik mereka. Disebabkan itu, reaksi pertama kucing apabila berasa tertekan adalah berlari menyembunyikan diri.
Maka, kotak boleh menjadi tempat yang tepat untuk kucing-kucing berlindung apabila mereka berasa tertekan.
Kotak Bantu Kucing Sesuaikan Diri
Pada tahun 2014, sebuah pasukan pengkaji dari Universiti Ultrecht membandingkan antara kucing yang hidup dalam persekitaran baru yang mana disediakan kotak dengan kucing yang hidup dalam suasana baru tetapi tiada kotak.
Menurut kajian tersebut, mereka mendapati kucing yang hidup dalam persekitaran baru yang menyediakan kotak dapat menyesuaikan diri dengan lebih mudah berbanding persekitaran baru tanpa kotak.
Kucing Suka Tekstur Kotak
Mungkin para pemilik kucing pernah menyaksikan bagaimana kucing mereka mencakar-cakar atau menggigit permukaan kotak.
Sebagai haiwan pemburu, penting bagi kucing untuk mengasah kuku dan giginya. Dengan adanya kotak, kucing akan mejadikannya sebagai tempat sesuai untuk menajamkan kuku dan taringnya.
Langkah memberikan kotak kepada kucing mungkin nampak remeh tetapi besar manfaatnya bagi tumbesaran kucing kesayangan. Ia secara tidak langsung akan membuatkan kucing rasa selesa dan senang ketika di rumah.
Sumber: Sinar Plus