in

Solat Tarawih, Aktiviti Imarah Masjid Dan Surau Dibenarkan Di Johor

Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) membenarkan pelaksanaan solat terawih serta pengimarahan masjid dan surau sepanjang bulan Ramadhan, selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kebenaran diberikan bermula 13 April sehingga ada ketetapan lain yang ditentukan MAINJ. Datuk Yahya Ahmad (Mufti Johor) memberitahu bahawa keutamaan solat terawih adalah kepada jemaah lelaki dewasa dan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dengan bilangan 20 rakaat diikuti dengan solat sunat witir tiga rakaat.

Imam bertugas hendaklah membaca surah lazim sahaja selepas al-Fatihah, dan jemaah hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, menurutnya lagi.

Sepanjang tempoh PKPB ini, SOP yang perlu diikuti adalah seperti berikut:

  • Program tadarus al-Quran dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam selepas selesai solat witir atau waktu yang diprogramkan oleh pihak masjid mahupun surau.
  • Majlis khatam Al-Quran dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam tiga puluh minit, selain program kuliah dan ceramah dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam.
  • Kuliah sebelum dan selepas terawih tidak dibenarkan.
  • Majlis berbuka puasa, sahur dan moreh dalam masjid dan surau dibenarkan di kawasan khusus sahaja. Juadah hendaklah dibungkus dan tidak dibenarkan layan diri atau bufet.
  • Untuk majlis tertentu seperti jamuan berhidang, hanya 50 jemaah dibenarkan di ruang yang ditetapkan sahaja.
  • Kegiatan masak-memasak dalam kawasan masjid dan surau adalah tidak dibenarkan, namun program agihan bubur lambuk dalam kawasan masjid serta surau dibenarkan.
  • Jemaah turut dibenarkan qiamulail di masjid atau surau untuk tempoh dua jam sebelum masuk subuh. Jemaah dilarang tidur bermalam di dalam premis.

Kredit: Harian Metro