Contoh Karangan Semangat Kejiranan

Dalam artikel ini kami akan kongsikan info mengenai Semangat Kejiranan : Isi Penting & Contoh Karangan

Lain: Kepentingan Keluarga Bahagia Dan Harmoni (Contoh Karangan)

Isi Penting Karangan Semangat Kejiranan

Antara isi penting bagi karangan semangat kejiranan adalah seperti berikut:

1. Mengadakan Aktiviti Gotong Royong

  • Jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan.
  • Dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran dengan lebih dekat.
  • Contoh aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya.

2. Mengadakan Majlis Rumah Terbuka Semasa Sambutan Perayaan

  • Dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat.
  • Jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat.
  • Semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah.

3. Mengadakan Hari Keluarga

  • Memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat.
  • Semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya.
  • Kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga.

4. Mewujudkan Pusat Komuniti dan Rukun Tetangga

  • Dijadikan pusat untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan.
  • Meningkatkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat serta dapat mengukuhkan semangat kejiranan.

Contoh Karangan Semangat Kejiranan

i) PENDAHULUAN

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran merupakan pihak yang penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “jiran sepakat membawa berkat”. Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

ii) ISI 1: MENGADAKAN AKTIVITI GOTONG-ROYONG

Antara langkah yang boleh diambil untuk memupuk semangat kejiranan adalah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu, iaitu “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

iii) ISI 2: MENGADAKAN MAJLIS RUMAH TERBUKA SEMASA SAMBUTAN PERAYAAN

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan bagi memupuk semangat kejiranan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

iv) ISI 3: MENGADAKAN HARI KELUARGA

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan Hari Keluarga. Hari Keluarga dilaksanakan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan erat sesama jiran dapat dibentuk dan secara tidak langsung akan memupuk perasaan lebih mesra antara satu sama lain.

v) ISI 4: MEWUJUDKAN PUSAT KOMUNITI DAN RUKUN TETANGGA

Untuk memastikan semangat kejiranan semakin kukuh, antara usaha yang boleh dijalankan adalah mewujudkan pusat komuniti dan rukun tetangga. Pusat komuniti dan rukun tetangga ini boleh dijadikan pusat untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan. Apabila aktiviti kemasyarakatan bergerak aktif, ini akan dapat meningkatkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat serta dapat mengukuhkan semangat kejiranan. Ini bertepatan dengan pepatah “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.”

vi) PENUTUP

Kesimpulannya, semangat kejiranan adalah amat penting dalam kehidupan bermasyarakat bagi melahirkan masyarakat yang harmoni di dalam negara. Ini juga penting bagi memastikan rakyat di dalam negara hidup dalam bersatu padu bagi untuk mencapai negara yang maju. Kita menginginkan kemajuan negara bukan hanya sekadar infrastruktur sahaja tetapi juga rakyat yang maju dari segi akhlak, sahsiah, dan semangat kebersamaan yang tinggi.

Diharapkan info semangat kejiranan di atas ini dapat memberikan anda maklumat baru

Sumber: Semangat Kejiranan – Isi Penting & Contoh Karangan (ecentral.my)