Dalam artikel ini kami akan kongsikan info mengenai Badal haji info seperti maksud, hukum, syarat sah, langkah & anggaran kos
Info: Cara Keluarkan Duit Tabung Haji Online Guna CIMB Clicks
Maksud Badal Haji
Dalam rukun Islam menunaikan haji bagi yang berkemampuan dari aspek kewangan dan fizikal adalah wajib untuk dilaksanakan. Namun begitu, jika individu tersebut hanya berkemampuan dari aspek kewangan sahaja, mereka boleh melakukan badal haji.
Badal Haji atau Upah haji adalah satu cara atau kaedah yang dilaksanakan oleh individu-individu yang tidak dapat melakukan ibadah haji disebabkan beberapa halangan untuk melakukannya dengan mengupah individu lain.
Hukum Pelaksanaan Badal Haji
Pelaksanaan badal haji ini adalah wajib bagi individu berkemampuan dari segi kewangan. Seseorang yang berkemampuan mengerjakan haji namun telah meniggal dunia wajib melakukan upah haji menggunakan harta peninggalannya. Ini kerana ia merupakan beban hutang buat si mati.
Namun, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta atau harta si mati tidak mencukupi, maka tidak wajib untuknya mengerjakan haji bagi pihak si mati, sebaliknya ia menjadi perkara yang sunat untuk dikerjakan oleh ahli warisnya ataupun orang asing yang lain bagi pihaknya.
Begitu juga buat pesakit telantar atau pesakit kronik yang tidak mampu melakukan ibadah ini, jika mereka berkemampuan mereka perlu menggunakan wang tersebut untuk melaksanakan upah haji ini.
Syarat Sah Badal Haji
Bagi anda yang ingin melakukan badal haji untuk diri anda atau untuk ibu bapa anda yang sedang sakit atau telah meninggal dunia, anda perlu pastikan anda memenuhi syarat sah dibawah sebelum melaksanakannya:
- Semestinya syarat yang pertama adalah, upah haji ini hanya boleh dilakukan untuk individu yang tidak berkemampuan dari segi fizikal (pesakit kronik/pesakit terlantar) dan orang yang telah meninggal duniah SAHAJA.
- Upah haji tersebut harus dilaksanakan oleh individu yang telah melakukan haji SAHAJA. TIDAK boleh seseorang itu mengerjakan ibadah yang wajib bagi orang lain jika dia sendiri belum menunaikan ibadah tersebut.
- Badal haji ini TIDAK SAH atau TIDAK WAJIB bagi orang yang tidak berkemampuan dari aspek kewangan.
- Wakil yang melaksanakan upah haji tersebut perlu memastikan niat yang dibaca sewaktu memasuki ihram jelas menyatakan bahawa ibadah tersebut dilakukan bagi mewakili individu lain. Jika tidak, upah haji tersebut adalah tidak sah.
Langkah Melakukan Upah Haji
Upah haji atau badal haji ini dilakukan mengikut proses atau langkah-langkah berikut:
- Memilih wakil yang layak (individu yang telah melakukan haji dan memahami rukunnya ) untuk melakukan upah haji.
- Wakil perlu menunaikan haji tersebut dengan memenuhi semua rukun dan syarat haji (Ihram, Tawaf, Saie, dll).
- Berniat badal haji dan dengan jelas menyatakan bahawa haji yang dilakukan bukan untuk diri sendiri tetapi untuk individu lain.
Anggaran Kos Upah Haji Malaysia
Menurut Yang Di-Pertua Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi Cawangan Madinah (PERSADA), Ukail Ahmad Sanif, anggaran kos badal haji ini adalah sekitar RM6,359.87 sehingga RM14,543.98.
Menurut beliau juga, kos perbelanjaan bagi melaksanakan upah haji ini tidak mungkin lebih rendah daripada anggaran yang dinyatakan. Jika terdapat syarikat yang menawarkan harga yang lebih murah, anda perlu berhati-hati kerana berkemungkinan ia adalah sindiket penipuan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
Diharapkan info badal haji di atas ini dapat memberikan anda maklumat baru yang berguna
Sumber: Badal Haji : Proses, Syarat, Hukum & Kos Pelaksanaan Upah Haji (ecentral.my)