Kurma Ajwa : Ciri & Khasiat

Dalam artikel ini kami akan kongsikan info mengenai Kurma Ajwa : ciri, khasiat & kelebihan yang disebut dalam hadis nabi

Lain: Buah Tin : Khasiat & Fakta Kandungan

Apa itu Kurma Ajwa?

Kurma ajwa sering digelar sebagai kurma Nabi kerana ia dikatakan menjadi kegemaran Rasulullah SAW dan ia juga ditanam di tempat asal baginda iaitu Madinah.

Ciri-Ciri Kurma Ajwa

Kurma ajwa mempunyai beberapa ciri unik antaranya berwarna lebih gelap dan bersaiz lebih kecil.

Isinya pula lebih tebal dan rasanya tidak terlalu manis berbanding kurma lain.

Hadis Nabi Tentang Kelebihan Kurma Ajwa

Istimewanya tentang kurma ajwa, ia merupakan satu-satunya jenis kurma yang pernah disebutkan secara spesifik dalam sebuah hadis sahih iaitu :

Di antaranya daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Nabi SAW bersabda :

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً، لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ، وَلَا سِحْرٌ

Maksudnya : “Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.” [HR al-Bukhari (5445) dan Muslim (2047)]

Begitu juga, daripada Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda :

إِنَّ فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءً – أَوْ إِنَّهَا تِرْيَاقٌ – أَوَّلَ الْبُكْرَةِ

Maksudnya : “Sesungguhnya pada kurma Ajwah ‘Aliyah itu ada ubat penyembuh atau ia merupakan ubat penawar bagi racun, apabila dimakan pada awal pagi.” [HR Muslim (2048)]

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa ‘Aliyah ialah kawasan yang terdiri daripada kebun-kebun, perkampungan dan pekan dari dataran tinggi Madinah yang menuju ke arah Naj atau dataran rendah dari arah yang lain yang menuju ke Tihamah.

Kawasan ‘Aliyah yang paling dekat dari Madinah adalah pada jarak 3 batu (mil) dan yang paling jauh adalah pada jarak 8 batu. [Lihat : al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (14/3) dan Ikmāl al-Mu’lim bi fawāid Muslim]

Manakala daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda :

والعَجوةُ مِنَ الجَنَّةِ، وهي شِفاءٌ مِنَ السُّمِّ

Maksudnya : “Kurma Ajwah itu berasal daripada syurga, dan ia merupakan penawar daripada racun.” [HR Ahmad (8037), al-Tirmizi (2066) dan Ibnu Majah (3455). Ahmad Syakir menyatakan bahawa sanadnya sahih]

Daripada hadis-hadis ini, secara zahirnya dapat kita fahami bahawa sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi akan mendapat fadilat sebagaimana yang telah disebutkan iaitu terselamat daripada sebarang racun dan sihir.

Persoalannya, adakah kelebihan ini khusus buat kurma Ajwah Madinah sahaja, atau umum buat semua jenis kurma?

Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan beberapa pendapat ulama mengenai hal ini. Antaranya daripada al-Khattabi yang menyatakan bahawa :

كَوْنُ الْعَجْوَةِ تَنْفَعُ مِنَ السُّمِّ وَالسِّحْرِ إِنَّمَا هُوَ بِبَرَكَةِ دَعْوَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِتَمْرِ الْمَدِينَة لَا لخاصية فِي التَّمْر

Maksudnya : “Kurma Ajwah bermanfaat bagi mengubati racun dan sihir disebabkan oleh keberkatan doa Nabi SAW kepada kurma Madinah, dan bukan kerana khasiat kurma itu sendiri.”

Manakala Ibnu al-Tin pula berpendapat bahawa :

يُحْتَمَلُ أَنْ يَكُونَ الْمُرَادُ نَخْلًا خَاصًّا بِالْمَدِينَةِ لَا يُعْرَفُ الْآنَ

Maksudnya : “Berkemungkinan yang dimaksudkan di sini ialah kurma yang secara khususnya terdapat di Madinah, yang tidak diketahui lagi pada masa sekarang”

Meskipun terdapat beberapa pandangan ulama mengenai perkara ini, Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan bahawa selagi mana nas tersebut muhtamal (ada kemungkinan), sekiranya seseorang itu memakan tujuh biji kurma dan ia menepati sebagaimana yang dikehendaki oleh Rasulullah SAW, maka dia memperoleh fadilat tersebut. Dan sekiranya ia tidak menepati, perkara tersebut langsung tidak memudaratkannya. [Lihat : Fatawa Nur ‘ala al-Darb li al-Uthaimin (6/2)]

Khasiat Kurma Ajwa

Berikut adalah khasiat & kelebihan kurma ajwa:

  1. Padat Dengan Antioksidan
  2. Baik Untuk Sistem Penghadaman
  3. Bersifat Antiradang
  4. Sesuai Untuk Pesakit Kencing Manis
  5. Baik Untuk Kesihatan Ibu Hamil dan Menyusu

Diharapkan info kurma ajwa di atas ini dapat memberikan anda maklumat baru yang berguna

Sumber: Kurma Ajwa : Ciri-Ciri, Khasiat dan Kelebihan Yang Disebut Dalam Hadis Nabi (ecentral.my)