Untuk pengetahuan anda, cara kira zakat emas bergantung kepada sifat dan penggunaannya, selain perlu merujuk kepada kadar uruf emas yang ditetapkan di setiap negeri.
Islam melihat emas bukan sahaja sebagai bahan perhiasan indah bukan sahaja di dunia, malah bagi penghuni syurga di alam akhirat nanti. Terdapat banyak potongan ayat al-Quran yang mengangkat emas sebagai perhiasan, harta, dan lambang kekayaan.
Ia juga dianggap sebagai simpanan yang boleh berkembang. Disebabkan ciri-ciri keistimewaan emas yang mempunyai nilainya tersendiri, adalah diwajibkan kepada pemilik emas untuk mengeluarkan zakat mengikut jumlah yang ada.
Bacaan Lain: Cara Kira Cukai Pendapatan Yang Perlu Dibayar Secara Kasar
Cara Kira Zakat Emas
Zakat Emas Perhiasan yang Dipakai
Pada asalnya, perhiasan tidak dikira zakat. Namun jika perhiasan tersebut merupakan emas yang ditempa menjadi perhiasan, ia sudah dikira sebagai aset yang tidak bersifat subur dan berkembang.
Namun, zakat ini hanya perlu dibayar sekiranya pemakaian melebihi sekali dalam
setahun dan melebihi nilai uruf emas setempat. Uruf emas merupakan kebiasaan pemakaian emas setempat.
Kadar Uruf Emas Setiap Negeri
Untuk pengetahuan anda, kadar uruf emas berbeza mengikut negeri setiap tahun. Bagi tahun 2021 2022, kadar uruf emas setiap negeri adalah seperti berikut:
Kadar Uruf Emas Selangor & Kuala Lumpur: 800 gram
Kadar Uruf Emas Johor: 850 gram
Kadar Uruf Emas Terengganu: 850 gram
Kadar Uruf Emas Perak: 500 gram
Kadar Uruf Emas Pahang: 500 gram
Kadar Uruf Emas Negeri Sembilan: 200 gram
Kadar Uruf Emas Melaka: 180 gram
Kadar Uruf Emas Kedah: 170 gram
Kadar Uruf Emas Perlis: 85 gram
Kadar Uruf Emas Penang: 165 gram
Kadar Uruf Emas Sabah: 152 gram
Kadar Uruf Emas Sarawak: 90 gram
Kadar Uruf Emas Kelantan: Tiada Uruf
Cara Kira Zakat Emas
Berikut adalah contoh pengiraan zakat emas. Sebagai contoh, bagi kawasan Wilayah Persekutuan, nilai uruf emas ialah 800 gram.
Formula pengiraan adalah seperti di bawah:
Berat emas dipakai – Berat Uruf x Harga Emas Semasa x 2.5% Kadar Zakat
Sekiranya berat emas yang dipakai ialah 900 gram, maka pengiraannya ialah:
900 g – 800 g X RM 238.81 (contoh harga emas semasa) X 2.5% = RM 5970.25
Zakat Emas yang Disimpan Tapi Tak Dipakai
Emas yang disimpan dan tidak dipakai perlu dikenakan zakat. Ia termasuk barang kemas yang disimpan yang tidak dipakai dan barang kemas yang sudah lama dan rosak.
Jika jumlah penyimpanan emas menyamai atau melebihi 85 gram dan mencukupi tempoh haul (setahun), maka wajib dikenakan zakat atas emas tersebut sebanyak 2.5%.
Cara Pengiraan:
Sebagai contoh, sekiranya jumlah emas yang disimpan dalam tempoh setahun ialah 200 gram maka:
= Berat Emas Disimpan X Harga Emas semasa X Kadar Zakat 2.5%
= 100 gram X RM 238.81 (contoh harga emas semasa) X 2.5%
= RM 5970.25
Zakat Emas Bercagar
Bagi emas yang dicagar, ia wajib dizakatkan kerana dikira sebagai emas simpanan. Zakat perlu dibayar setelah ditolak nilai pinjaman dan upah simpan.
Cara Pengiraan :
(Berat emas X harga emas semasa) – (nilai pinjaman + upah simpan) X 2.5% kadar zakat = jumlah zakat
Emas Pelaburan Patuh Syarak
Emas juga disimpan sebagai aset pelaburan. Terdapat dua jenis pelaburan emas yang patuh syarak iaitu pelaburan emas fizikal dan pelaburan emas dalam bentuk akaun emas (Gold Investment Account).
i) Emas Fizikal
Emas fizikal yang disimpan biasanya dalam bentuk syiling, jongkong atau wafer dan diniatkan sebagai pelaburan untuk mendapat keuntungan.
Emas ini wajib dizakatkan jika bernilai 85 gram atau lebih dengan kadar zakat 2.5% bila cukup setahun.
Cara Pengiraan bagi zakat emas pelaburan:
Berat emas simpanan X harga emas semasa X 2.5% kadar zakat = jumlah zakat
= 100 gram x RM 238.81(contoh harga emas semasa) x 2.5%
= RM 5970.25
ii) Akaun Emas (Gold Investment Account)
Bank juga menawarkan pelaburan emas dalam bentuk akaun simpanan.
Akaun ini merekodkan jumlah simpanan dalam unit gram emas yang dilaburkan. Pelaburan ini patuh syarak kerana emas yang disimpan wujud secara fizikal dan boleh dimiliki oleh pelabur.
Jumlah emas melebihi 85 gram wajib dizakatkan seperti simpanan emas fizikal kerana diniatkan untuk pelaburan.
Cara Pengiraan :
Berat emas simpanan X harga emas semasa X 2.5% kadar zakat = jumlah zakat
Kewajipan Menunaikan Zakat Emas
Emas merupakan sebahagian daripada harta dan setiap harta miliki wajib diinfakkan melalui zakat. Setiap zakat yang dikeluarkan mempunyai hikmah kepada pengeluar dan penerimanya.
Ia juga merupakan cara untuk mendekatkan diri dengan Allah di samping menyucikan jiwa dari sifat mazmumah berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk). (Surah At-Taubah : 103)
Oleh itu, segeralah berzakat supaya harta kita terpelihara dan rezeki sentiasa diberkati Allah.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut tentang cara kira zakat emas dan kadar uruf terkini, sila rujuk di pejabat Agama Islam Negeri masing-masing:
- Lembaga Zakat Selangor
- Pusat Pungutan Zakat MAIWP (Wilayah Persekutuan, Labuan, Putrajaya)
- Lembaga Zakat Kedah
- Zakat Pulau Pinang
- Majlis Agama Islam Perlis
- Zakat MAIK (Majlis Agama Islam Kelantan)
- Zakat MAIT (Majlis Agama Islam Terengganu)
- Pusat Zakat Melaka
- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan
- Zakat MAIJ (Majlis Agama Islam Johor)
- Zakat MAIPk (Perak)
- Zakat Pahang
- Baitulmal Sarawak
- Majlis Ugama Islam Sabah
Sumber: Harian Post