Dalam artikel ini kami akan berikan info dan jawapan kepada persoalan utama mengenai braces atau pendakap gigi seperti berapa harga braces? berapa lama nak kena pakai braces? macam mana prosedur braces di Malaysia?
Walaupun braces atau nama penuhnya orthodontic braces ini merupakan keperluan bagi individu yang mempunyai masalah gigi, kini ia merupakan trend bagi kalangan remaja kerana warna dan reka bentuknya yang menarik perhatian.
Sebelum merancang nak pakai braces, jom kita semak dulu harga pendakap gigi, tips pendakap gigi & prosedur pendakap gigi!
Tips lain: Tanda Sakit Buah Pinggang Yang Perlu Anda Tahu
Harga Braces, Prosedur, Tips Pendakap Gigi Di Malaysia
Apa itu Braces (Pendakap Gigi)?
Pendakap gigi atau orthodontic braces adalah rawatan ortodontik bagi membetulkan kedudukan gigi. Ada juga kes di mana gigi elok tersusun tapi hakikatnya gigitan antara rahang atas dan bawah tak bertemu dengan betul.
Ini membuatkan seseorang mengalami kesukaran ketika mengigit dan akan menyebabkan masalah pada masa jangka masa panjang antaranya :
- Masalah gigi berlubang
- Penyakit gusi
- Masalah mengunyah atau pertuturan
- Masalah rahang
- Permukaan gigi cepat haus
Harga Braces Di Malaysia
Harga braces di klinik kerajaan dan harga braces swasta tentunya berbeza untuk harga braces 2021 tahun ini. Rawatan ortodontik boleh diperolehi di klinik-klinik pergigian kerajaan. Walaubagaimanapun keutamaan rawatan diberikan kepada murid-murid sekolah.
Secara purata harga prosedur braces di klinik swasta di Malaysia adalah sekitar RM 4000 hingga RM 8000 dan mungkin meningkat setiap tahun.
Walaupun rasa mahal, jangan risau dengan harga prosedur braces yang tinggi kerana kebanyakan klinik akan menawarkan pelan bayaran secara ansuran sehingga rawatan tamat.
Untuk makluman, bukan semua klinik gigi menawarkan perkhidmatan X-Ray. Sesetengah klinik mungkin akan merujuk anda ke klinik lain bagi mengambil X-Ray dengan harga yang berasingan. Harga X-ray adalah sekitar RM 100 ke RM 300. Kos cabut gigi pula adalah dalam RM 80 ke RM 180 untuk sebatang gigi.
Prosedur Pendakap Gigi
Untuk prosedur braces, setiap klinik akan memberitahu kita tentang risiko atau anggaran tempoh yang diperlukan untuk pemakaian pendakap gigi setelah membuat pemeriksaan gigi kita secara menyeluruh.
X-ray juga perlu diambil bagi menyemak kedudukan gigi dengan lebih terperinci. Bergantung kepada keadaan gigi, ada kes yang memerlukan gigi untuk dicabut supaya ada ruang untuk gigi bergerak semasa tempoh rawatan. Prosedur braces bergantung kepada cadangan yang disyorkan oleh doktor gigi.
Braces bertindak dengan menggunakan tekanan untuk membetulkan kedudukan gigi. Braces tradisional ini menggunakan ‘bracket’ kecil yang dilekatkan pada permukaan gigi dan disambungkan dengan wayar besi halus.
‘Bracket’ kecil ini pula ada dua jenis iaitu daripada besi atau pun seramik (warna gigi). Ada juga jenis bracket yang dipasang pada permukaan belakang gigi.
Prosedur pemasangan braces biasanya begini:
- Temujanji pertama doktor gigi akan buat pemeriksaan gigi secara menyeluruh dan x-ray gigi.
- Doktor juga akan membuat satu acuan berdasarkan gigi asal kita untuk rujukan mereka.
- Temujanji seterusnya doktor akan memberi sebut harga (kos keseluruhan) untuk pemasangan braces berdasarkan keadaan gigi yang telah dinilai oleh mereka.
- Jika kita setuju, doktor akan terangkan risiko dan berapa banyak gigi perlu dicabut (jika ada).
- Gigi akan dicabut terlebih dahulu sebelum memulakan pemasangan pendakap gigi. Gigi rosak juga akan ditampal.
- Setelah selesai, temujanji seterusnya barulah pemasangan bracket akan bermula. Pemasangan ini akan mengambil masa lebih kurang 1 jam lebih.
- Akhir sekali, wayar besi akan dipasang untuk mengikat gigi bersama getah yang berwarna-warni. (Part ni ramai yang excited kan).
- Doktor akan pastikan tak ada rasa tajam dalam mulut supaya tiada luka. Kalau semua ok, barulah selesai pemasangannya.
Jika masih rasa tak selesa, kenalah beritahu doktor gigi tu ok!
Tips Braces
Pada awal minggu pemakaian, mungkin ada yang rasa tak selesa dan sukar mengunyah makanan. Ini adalah normal, dan sepatutnya rasa tak selesa akan berkurang dari semasa ke semasa.
Semasa temu janji bulanan anda, doktor akan mengetatkan wayar dan memeriksa pergerakan kedudukan gigi. Doktor juga akan memastikan gigi atas dan gigi bawah bertemu pada kedudukan yang baik supaya anda mempunyai gigitan yang sempurna.
Tips Penjagaan Gigi Untuk Braces
Bila sudah pakai braces, penjagaan gigi perlu dilakukan dengan lebih teliti. Kena lagi rajin berkumur dan tak boleh makan sesuka hati macam dulu. Doktor juga akan beri (atau mungkin kena beli) sejenis tampalan untuk elakkan rasa tajam / ulser pada bahagian tertentu di braces.
Berikut adalah tips penjagaan gigi yang penting selepas memakai pendakap gigi :
- Di farmasi, terdapat beberapa jenis berus khas untuk pemakai braces. Berus ini perlu digunakan untuk membersihkan celahan gigi.
- Pemakanan pun kena jaga sebab makanan lebih mudah tersangkut dan bracket pun boleh tercabut jika makan makanan yang melekit atau terlalu keras. Gigi juga susah untuk kekal pada kedudukan baru jika selalu makan makanan keras.
- Elakkan juga makanan manis kerana plak lebih mudah terkumpul pada braces dan boleh menyebabkan gigi berlubang.
Biasanya penggunaan pendakap gigi akan mengambil masa setahun hingga tiga tahun bergantung kepada keadaan gigi pemakainya. Bila dah buka braces nanti, bukan boleh ‘merdeka’ macam tu je tau.
Kita perlu memakai applians (retainer) mengikut jangka masa yang disyorkan doktor supaya gigi kekal tersusun dan tidak bergerak semula. Applians juga terdapat dua jenis iaitu applians boleh tanggal atau applians kekal. Biasanya appointment akan dikurangkan kekerapannya selepas braces dibuka.
Bahaya Fake Braces
Bukan semua orang dilahirkan dengan senyuman yang cantik. Dengan penjagaan oral yang baik dan rawatan braces, kini semua orang boleh miliki senyuman yang menawan. Pastikan anda dapatkan rawatan dengan doktor gigi yang bertauliah supaya kesihatan gigi anda terjamin.
Sekarang banyak kes penipuan oleh individu tak bertanggungjawab yang menawarkan perkhidmatan ‘fake braces’. Rawatan yang betul hanya dilakukan di klinik gigi oleh doktor berpengalaman dengan menggunakan peralatan yang betul.
Jangan mudah terpedaya dengan harga prosedur braces yang murah. Semak dulu kesahihan perkhidmatan sebelum memulakan rawatan.
Sumber: Harian Post