Resipi Nasi Ayam Mudah Dan Sedap

Resepi nasi ayam yang sedap dan mudah sangat sesuai dihidangkan untuk pelbagai jenis majlis kerana ramai rakyat Malaysia menyukainya. Dalam artikel ini kami akan kongsikan resipi nasi ayam mudah tapi sedap dari Puan Rosma Ros.

nasi ayam sedap

Resipi Nasi Ayam

Berikut adalah resipi nasi ayam sedap yang lengkap dan mudah dibuat hanya mengikuti langkah di bawah ini.

Berikut adalah bahan-bahan untuk rebusan ayam:

  • Seekor ayam
  • 1 biji bawang besar dipotong kasar
  • Seinci halia diketuk
  • 2 batang serai
  • 3 ulas bawang putih

Untuk nasi, berikut adalah bahan-bahannya:

  • 5 cawan beras
  • Seinci halia dipotong nipis
  • 3 biji bawang merah dipotong halus
  • 4 ulas bawang putih dipotong halus
  • Sebatang kulit kayu manis (kecil)
  • Bunga lawang
  • Cengkih
  • Lemak ayam yang kita kumpul tadi
  • 1 sudu makan margerin/ butter
  • 1 ketul kiub ayam
  • Sedikit kunyit. Tak perlu banyak sangat nanti terlalu kuning
  • Daun pandan simpul
  • Garam

Manakala untuk ayam, berikut adalah bahan-bahannya:

  • 3 ulas bawang putih
  • Setengah inci halia
  • 2 sudu sos tiram
  • 1 sudu sos lada hitam
  • Kicap manis secukupnya
  • Setengah sudu gula merah/ gula kabung
  • Sedikit garam
  • 1 sudu kecil pati ayam
  • Sedikit margerin

Cara Potong Ayam Dan Basuh

Macam biasa ayam seekor, ikut suka nak potong macam mana. Asingkan lemak tapi jangan buang lemaknya, sebab nanti nak guna untuk buat minyak ayam.

Kalau suka ayam macam di kedai, tak payah potong, boleh guna seekor terus.

cara potong ayam

Cara Rebus Ayam

Kita rebus dulu ayam sebelum diperap dan digoreng supaya dapat hasil yang juicy dan cantik. Air rebusan ayam ni kita akan gunakan untuk masak nasi nanti.

Caranya, panaskan air bersama bahan-bahan rebusan ayam di atas. Tunggu sampai mendidih, baru masukkan ayam. Jangan lama-lama sangat takut ayam kecut.

Cara Masak Nasi Ayam

Seterusnya untuk memasak nasi, kita akan guna bahan-bahan nasi seperti di atas.

Mula-mula, masukkan lemak ayam ke dalam periuk nasi bersama sedikit marjerin. Buka api sederhana dan biarkan lemak bertukar menjadi minyak.

Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih, bawang putih, bawang merah dan halia. Tumis sekejap saja jangan sampai garing, biarkan layu je.

Kemudian masukkan beras yang dibasuh, pati ayam, marjerin, daun pandan dan garam. Goreng sekejap semua bahan ini sampai sebati.

Masukkan air rebus ayam tadi bersama sedikit kunyit, sukatan air macam biasa, jangan terlalu banyak nanti lembik. Tanak nasi sampai masak.

cara masak nasi ayam

Cara Perap Ayam Dan Cara Goreng Ayam

Untuk sediakan ayam goreng yang cantik dan berkilat, kita akan gunakan bahan-bahan ayam seperti di atas.

Mula-mula, tumbukkan halia dan bawang putih, perah dan ambil jusnya saja. Kemudian, gaul semua bahan lain hingga sebati. Perap sekurang-kurangnya 1 jam dengan ayam yang dah direbus tadi. Kalau lagi lama lagi sedap.

*Nak bagi berkilat, masukkan ayam dalam kuali dengan untuk digoreng dengan sedikit kuah perapan ayam tadi dan tambah satu sudu madu. Kalau tak ada madu, letak marjerin sikit nak bagi kilat je. Gaul ayam dan kalau nampak dah berkilat, terus angkat dan toskan.

Masa goreng, guna api perlahan, kena selalu alihkan ayam supaya tak hangit. Masak jangan lama sangat takut ayam tak juicy.

cara perap ayam

Cara Buat Sambal Nasi Ayam

Makan nasi ayam memang tak sahlah kalau tak ada sos atau sambalnya, kan.

Nak buat ni senang saja, bahan-bahannya seperti di bawah:

  • 5-7 biji cili besar (Kalau suka pedas boleh letak cili padi / cili api merah)
  • Gula secukupnya
  • Gula kabung sedikit
  • Garam
  • 5 ulas bwg putih
  • Limau nipis agak-agak masam (Kalau tak ada boleh ganti dengan cuka)
  • Sos cili 4-5 sudu

Caranya, blenderkan semua bahan dan masak atas api sampai pekat. Kalau suka yang cair, masak sampai mendidih saja lepas tu boleh tutup api.

cara buat sambal nasi ayam

Cara Buat Kuah Kicap

Kuah kicap sebagai pelengkap. Gunakan kuah perapan yang lebih tadi dan tambah air rebusan ayam dan kicap secukupnya.

Masakkan sekejap atas api. Siap!

kicap nasi ayam

Cara Masak Sup

Kemudian, nak masak sup kita gunakan bahagian ayam yang kecil-kecil tadi. Contohnya kaki ayam, tulang, tengkuk, dan sebagainya. Rebus sampai masak. Masukkan sekeping kulit kayu manis, sedikit bunga lawang dan cengkih.

Kemudian masukkan pati ayam, perencah cukup rasa Maggi, lada sulah, dan garam. Rebus hingga menggelegak. Perasakan dengan garam jika perlu.

Bila dah masak, boleh taburkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng.

cara buat sup nasi ayam

Sediakan Sayur

Akhir sekali, bolehlah hiriskan timun, tomato, carrot dan daun salad untuk dihidang bersama nasi ayam ini. Barulah seimbang kan, cukup semua ada – nasi, protein, sayuran.

sayur ayam