Saintis Yang Menemui Virus Hepatitis C Dianugerahkan Hadiah Nobel Fisiologi Atau Perubatan

Terdapat lima jenis hepatitis di dunia dimana salah satunya iaitu Hepatitis C telah menjangkiti lebih 70 juta individu di seluruh dunia. Harvey Alter, Michael Houghton dan Charles Rice yang merupakan tiga ahli sains telah dianugerahkan Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan berikutan penemuan virus berbahaya ini.

Harvey Alter merupakan saintis pertama yang menyedari jangkitan pada hati yang berlaku pada penerima darah tidak disebabkan oleh virus hepatitis A ataupun B pada pertengahan dekad 70-an.

Pada 1987, Michael Houghton kemudiannya menemui antibodi kepada virus hepatitis C. Kit ujian yang dapat mengesan virus pada darah sebelum pemindahan darah dilakukan di hospital dibangunkan setelah itu.

Charles Rice pula meneruskan kajian ke atas virus ini sehingga membolehkan rawatan anti-viral dibangunkan. Pada waktu ini 95% jangkitan hepatitis C dapat dirawat dengan rawatan anti-viral.

Tanpa sumbangan Harvey Alter, Michael Houghton dan Charles Rice, hepatitis C akan terus menjangkiti insan menerusi pemindahan darah di hospital, perkongsian jarum dan alatan perubatan yang tidak dinyahkuman dengan betul. Jika rawatan tidak diberikan ia menyebabkan kematian menerusi kerosakan hati, kanser dan sirosis.

Sumber: Amanz

Leave a Comment