Sajak Sejadah Rindu : Maksud Rangkap, Tema, Persoalan, Nilai

Dalam artikel ini kali akan kongsikan info mengenai analisa penuh sajak sejadah rindu seperti maksud sajak, maksud rangkap, tema, persoalan, nilai, gaya bahasa.

Artikel menarik lain: Kepentingan Keluarga Bahagia Dan Harmoni (Contoh Karangan)

Sejadah Rindu

Berikut adalah analisa penuh sajak sejadah rindu.

Maksud Sajak Sejadah Rindu

Berikut adalah maksud sejadah rindu mengikut rangkap:

Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu

Maksud Rangkap 1: Penyajak termenung sewaktu berada di atas sejadah. Beliau mengadu kepada yang Maha Esa sambil memuji kehebatan dan kebesaran Yang Maha Agung. Dalam bermunajat timbul segala kesilapan dan kesalahan yang pernah penyajak lakukan. Sebelum ini jiwanya selalu tertutup untuk memikirkan kesalahannya yang lalu hingga menyentuh hatinya dan menjadikan dia menginsafi akan dosa-dosanya yang lalu.

Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
Kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.

Maksud Rangkap 2: Dengan rasa rendah diri, penyajak memohon kepada Tuhan agar diberi keampunan sebelum beliau meninggal dunia seperti yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Penyajak merayu agar Tuhan menunjukkan dia jalan ke arah kebenaran biarpun akur tentang segala kekurangan dirinya yang ada sebagai manusia biasa.

Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.

Maksud Rangkap 3: Penyajak menangis mengenangkan dosa-dosanya dan bertaubat dengan ikhlas sambil menyerahkan diri kepada Tuhan. Dengan iringan air mata dan hati yang ikhlas sebagai bukti, penyajak sujud dan melafazkan taubat dalam keadaan yang hening/ sunyi dan sepi.

Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari Pencipta dalam gemuruh.

Maksud Rangkap 4: Penyajak berasa sedih dan jiwanya tersentuh dengan ayat-ayat cinta kepada Tuhan yang disusun dengan rapi sewaktu memohon keampunan kepada Tuhan serta berasa amat gemuruh. Penyajak memohon keampunan dengan sepenuh hati dengan penuh rasa takut hanya kepada Tuhan.

Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.

Maksud Rangkap 5: Di rangkap terakhir penyajak mengharapkan kepada Tuhan agar beliau menjadi hamba yang taat kepada perintahNya sepanjang hayat. Penyajak juga berharap agar beliau tidak leka dengan kehidupan di dunia yang bersifat sementara

Tema Sajak Sejadah Rindu

Berikut adalah tema sejadah rindu:

Sajak ini bertemakan keinsafan dan ketaatan kepada agama. Ia boleh dilihat apabila penyajak berdoa dan meminta keampunan daripada Tuhan di atas kesalahan dan kesilapan yang dilakukannya sebelum ini. Penyajak bertaubat dan memohon agar Tuhan menunjukkannya jalan yang benar.

Persoalan Sajak Sejadah Rindu

Berikut adalah persoalan sejadah rindu yang perlu anda tahu:

  1. Persoalan keinsafan ke atas dosa-dosa lalu
    • Contoh: Merekah keinsafan di hati yang beku, Mengenang dosaku yang terdahulu.
  2. Persoalan memohon keampunan daripada Tuhan sebelum meninggal dunia
    • Contoh: Moga terbuka ruang keampunan, Sebelum saat aku di nisankan.
  3. Persoalan keikhlasan dalam memohon keampunan kepada Tuhan
    • Contoh: Air mata menjadi saksi, keikhlasan menjadi bukti, akhirnya, aku sujud menghadap Ilahi
  4. Persoalan dunia hanya bersifat sementara
    • Contoh: Agar aku tidak lupa, Dunia hanya bersifat sementara

Gaya Bahasa Sajak Sejadah Rindu

Berikut adalah gaya bahasa sejadah rindu:

  1. Inversi – susunan ayat terbalik : Contohnya, “Terkedu aku, moga terbuka ruang keampunan”
  2. Personafikasi – unsur perorangan: Contohnya, “air mata menjadi saksi”
  3. Metafora – perbandingan: Contohnya, “sejadah rindu, nafas kehidupan”
  4. Bahasa Asing: Contohnya, “kalimah, Ilahi, taubat”
  5. Pengulangan kata : Contohnya, “Buktinya, di sejadah rindu, di masa yang Kautetapkan”
  6. Sinkope – pemendekkan satu kata: Contohnya, “Buktinya, mengenang dosaku yang terdahulu”
  7. Responsi – pengulangan di tengah baris atau ayat: Contohnya, “Buktinya, izinkan aku menjadi manusia, agar aku tidak lupa”

Nilai Murni Sajak Sejadah Rindu

Berikut adalah nilai murni sejadah rindu:

  1. keinsafan
  2. keikhlasan
  3. kejujuran
  4. ketaatan kepada Tuhan
  5. kegigihan
  6. bersyukur

Pengajaran Sajak Sejadah Rindu

Berikut adalah pengajaran sejadah rindu:

  1. Kita seharusnya sentiasa bermuhasabah diri supaya menginsafi setiap kesilapan atau kesalahan yang dilakukan secara segaja atau tidak sengaja
  2. Kita mestilah taat akan didikan agama dan mengamalkan ajaran agama dengan penuh ketakwaan.
  3. Kita hendaklah sentiasa mengakui kesalahan diri dan meminta ampun daripada Tuhan yang Maha Esa
  4. Kita mestilah sedar bahawa dunia bersifat sementara dan bersyukur di atas segala nikmat yang kita perolehi
  5. Kita sewajarnya  berfikiran matang dan rasional dalam tindakan terutamanya sewaktu usia semakin tua.

Sumber: https://www.ipendidikan.my/sajak-sejadah-rindu.html