Punca Gastrik Angin & Cara Hilangkan Gastrik Angin

Dalam artikel ini kami akan kongsikan info cara hilangkan sakit perut gastrik teruk serta ubat gastrik angin. Punca gastrik angin dan petua hilangkan gastrik disediakan.

Artikel menarik lain: Ketahui Tanda Sakit Jantung Sebelum Terlambat

Gastrik Angin

Apa itu Gastrik Angin

Gastrik angin merujuk kepada masalah perut berangin tapi ianya kurang tepat. Perkataan ‘gastrik’ dalam istilah perubatan didefiniskan sebagai ‘perut’. Istilah tepat bagi penyakit ini adalah gastritis.

Disebabkan oleh penggunaan nama ini amat meluas di Malaysia, doktor turut menggunakan istilah sama bagi memudahkan pemahaman pesakit dan untuk mengelak timbul kekeliruan.

Jenis Gastrik Angin

Terdapat 3 jenis gastrik yang boleh berlaku, iaitu:

  • Gastritis ringan: Terdapat keradangan atau pembengkakan disebabkan iritasi pada bahagian lapisan perut yang bersentuhan dengan makanan
  • Gastritis berat: Berlaku kecederaan seperti luka pada bahagian lapisan perut yang bersentuhan dengan makanan, lalu menyebabkan gastritis berat
  • Ulser gastrik (peptic ulcer): Satu masalah ulser perut. Ulser adalah luka terbuka. Terdapat darah yang boleh dikesan dalam analisis muntah atau najis

Punca Gastrik Angin

Berikut adalah faktor gastrik angin dan kenapa gastrik angin terjadi yang perlu diketahui.

Jangkitan bakteria ‘Helicobacter pylori

Bakteria ini boleh menjangkiti manusia melalui pengambilan makanan yang tercemar. Bakteria ini akan bergerak masuk ke lapisan mukus yang melindungi dinding perut.

Apabila berjaya melepasi lapisan ini, bakteria H.pylori akan bersarang dan mengeluarkan bahan kimia yang boleh menghakis lapisan perlindungan dalam perut, lalu mengakibatkan rasa pedih dan sakit pada perut.

Pengambilan ubat tahan sakit NSAIDs

NSAIDs adalah Non-steroidal Anti-inflammatory Drugs. Ia ubat tahan sakit yang sering diberi doktor.

Ubat ini untuk individu dengan masalah sakit sendi (keradangan) atau sakit otot kerana ia berfungsi menghalang pembentukan prostaglandin yang mengakibatkan rasa sakit dalam badan.

Tapi dalam masa sama, bahan kimia prostaglandin diperlukan untuk penghasilan mukus.

Pengambilan ubat ini menyebabkan penghasilan mukus berkurang kerana prostaglandin tak cukup menampung keperluan dalam proses penghasilan mukus.

Keadaan ini akan mengakibatkan asid perut menghakis dinding perut.

Tahap tekanan tinggi

Masalah ini juga boleh berlaku apabila tahap tekanan yang tinggi membebani badan.

Antara penyebab tekanan ini seperti pembedahan major disebabkan masalah kesihatan lain, atau sebarang kecederaan teruk yang boleh merangsang penghasilan asid yang tinggi dalam perut.

Pengambilan alkohol berlebihan

Minuman beralkohol dipercayai mampu mendatangkan kerengsaan dan mengikis lapisan perut, sekali gus menyebabkan ia terdedah kepada asid.

Antara punca lain kenapa gastritis boleh berlaku adalah kerana:

  • Tindak balas dengan makanan atau ubat
  • Tindak balas dengan bahan kimia
  • Merokok
  • Peningkatan usia

Petanda Gastrik Angin

Berikut adalah simptom gastrik angin yang kerap terjadi:

  • Senak perut (ketidakhadaman)
  • Pedih ulu hati
  • Hilang selera makan
  • Perut kembung
  • Loya dan muntah
  • Badan berasa lemah dan lesu

Cara Hilangkan Gastrik Angin

Berikut adalah cara rawatan gastrik:

Antasid (Antacid)

Antasid berfungsi memperbaiki lapisan tambahan mukus, yang diambil 3 kali sehari sebelum makan. Ia adalah campuran bahan kimia yang mampu mengurangkan tahap keasidan perut dan boleh dibeli di farmasi.

Namun, pengambilan ubat antasid ini dikatakan akan memberikan beberapa kesan sampingan. Antara kesan sampingan yang mungkin dialami:

  1. Degupan jantung tidak sekata.
  2. Keletihan melampau.
  3. Sakit perut berterusan.
  4. Cirit-birit berterusan.
  5. Sembelit.
  6. Najis bertukar warna menjadi putih.

H2-blocker

Turut dikenali sebagai antagonis H2. Ubat ini berfungsi mengurangkan rembesan asid. Contoh ubat jenis H2-blocker adalah ranitidine.

Proton pump inhibitor

Perencat pam proton (PPI) bertujuan mengurangkan rembesan asid dengan lebih berkesan. Ubat PPI ini biasanya diberi pada pesakit dengan gastritis yang teruk atau ulser perut.

Antara contoh ubatan yang akan diberikan adalah lansoprazole atau pantoprazole.

Sumber: Hello Doktor