Khasiat Tembikai Yang Perlu Anda Tahu

Dalam artikel ini kami akan kongsikan senarai khasiat tembikai merah seperti khasiat tembikai susu, khasiat tembikai kuning dan khasiat tembikai untuk ibu hamil.

Artikel lain: Senarai Kelebihan Susu Kambing (Khasiat & Kebaikan)

Khasiat Tembikai

Berikut adalah senarai khasiat tembikai yang dikongsikan oleh artikel asal di Hello Doktor.

Khasiat Tembikai : Membantu Anda Kekal Hidrat

Semua orang tahu, cara yang terbaik untuk pastikan badan kekal hidrat adalah dengan minum air dengan mencukupi.

Namun, makan buah yang mengandungi banyak air juga mempunyai manfaat yang lebih kurang sama.

Salah satu khasiat buah tembikai yang ramai pandang remeh ialah kemampuannya untuk membuatkan kita kekal hidrat!

Malah, kombinasi air dan serat yang terkandung di dalam buah tembikai juga boleh membuatkan anda kekal kenyang dalam satu jangka masa yang lama walaupun ia mengandungi kalori yang sedikit.

Bantu melegakan otot yang sakit

Tahukah anda, buah tembikai boleh membantu melegakan otot yang sakit?

Menurut kajian yang dijalankan oleh Journal of Agricultural Food and Chemistry, minum jus tembikai selepas senaman dapat mengurangkan kadar degupan jantung dan sakit otot yang dialami oleh atlet.

Buah tembikai mengandungi sejenis asid amino yang dikenali dengan nama L-citrulline, yang akan ditukarkan oleh badan kepada L-arginine, asid amino yang bantu mengendurkan salur darah dan memperbaiki peredaran darah.

Buah tembikai bagus untuk kesihatan jantung

Sakit jantung merupakan antara punca utama kematian di seluruh dunia.

Faktor gaya hidup seperti diet yang sihat dapat membantu menurunkan risiko sakit jantung dan strok dengan cara mengurangkan tekanan darah dan tahap kolesterol badan.

Untuk pengetahuan anda, antara khasiat buah tembikai ialah ia mengandungi sejenis antioksidan yang dikenali sebagai likopena (lycopene).

Selain itu, ia juga mengandungi sitrulina (citrulline), sejenis asid amino yang boleh meningkatkan tahap nitrik oksida dalam badan.

Nitrik oksida yang terkandung di dalam buah tembikai ini dapat membantu menurunkan tekanan darah dalam badan.

Malah, menurut kajian yang dijalankan oleh Florida State University mendapati wanita yang telah mengalami menopaus boleh meningkatkan kesihatan kardiovaskular setelah mengambil suplemen yang mengandungi sitrulina selama 6 minggu.

Ia tidak semanis yang anda sangka!

Mungkin ramai yang elakkan buah tembikai kerana rasanya yang amat manis. Namun, jika difikirkan kembali, hampir semua buah-buahan mengandungi gula yang banyak.

Tetapi, walaupun manis, buah-buahan ini juga mengandungi nutrien yang tinggi.

Sebagai contoh, buah tembikai mengandungi 45 kalori, 11 gram karbohidrat dan 9 gram gula.

Jika dibandingkan dengan ubi keledek yang mempunyai 175 kalori, 41 gram karbohidrat dan 16 gram gula, buah tembikai tidaklah semanis yang anda sangka!

Malah, buah tembikai sebenarnya mempunyai ¼ daripada jumlah karbohidrat dan ½ jumlah gula jika dibandingkan dengan ubi keledek.

Khasiat buah tembikai tiada tandingannya!

Tahukah anda, semakin masak buah tembikai, semakin banyaklah vitamin dan nutrien yang terkandung di dalamnya?

Malah, semua kebaikan buah tembikai seperti likopenia, beta karotena, vitamin C, vitamin A, serat dan antioksidan akan jadi bertambah banyak apabila buah tersebut semakin berusia. Wah, tak sangka banyak betul khasiat buah tembikai!

Selain itu, anda juga boleh rujuk kepada warna buah tembikai tersebut. Jika ia berwarna merah terang, lebih banyaklah vitamin dan nutrien yang terkandung di dalamnya.

Jadi, selepas ini pilihlah buah tembikai yang berwarna merah terang ya!

Bagus untuk rambut dan kulit

Siapa sangka, antara khasiat buah tembikai adalah pada rambut dan kulit kita! Dua vitamin di dalam buah tembikai iaitu vitamin A dan C amat penting untuk kesihatan kulit dan rambut.

Vitamin A misalnya, amat penting untuk kulit yang sihat kerana ia membantu membuat sel kulit baru dan memperbaiki kulit yang rosak.

Tanpa vitamin A yang mencukupi, kulit akan nampak kering dan kusam.

Vitamin C pula membantu badan membuat kolagen, sejenis protein yang memastikan kulit dan rambut kekal sihat.

Bantu melawan kanser

Buah tembikai merupakan sumber likopenia yang amat baik untuk mencegah dan merawat kanser prostat.

Walau bagaimanapun, saintis masih lagi mengkaji apakah kaitan antara antioksidan ini dan bagaimana ia boleh membantu melawan kanser.

Sumber: Hello Doktor