Ramai antara kita berminat untuk mula membela kucing tapi bila difikirkan tentang sifat kucing yang suka berak atau kencing merata tempat, ianya menjadi penghalang pula.
Penting untuk anda yang mempunyai kucing atau yang ingin mula membela dalam masa terdekat ini untuk belajar cara melatih kucing untuk menggunakan tandas. Selain dari memastikan persekitaran rumah anda tidak dicemari bau najis, anda juga boleh jimat banyak dari membeli pasir kucing.
Antara tips untuk mula melatih kucing untuk menggunakan tandas adalah seperti berikut:
1. Sentiasa bersihkan bekas-bekas najis kucing dan mop lantai sehingga bersih
Digalakkan untuk anda sentiasa bersihkan bekas-bekas najis kucing anda dan mop lantai sehingga bersih untuk menghilangkan segala bau najis. Ini kerana kucing anda akan selalu membuang najis di tempat yang sudah selesa untuk membuang.
2. Kurung kucing anda di dalam tandas
Anda boleh melatih kucing anda dengan mengurungkannya di dalam tandas selama 3 malam berturut-turut dari pukul 12.00 malam sehingga lepas subuh atau sehingga pukul 8.00 pagi. Pastikan anda turut meninggalkan bekas berisi makanan sekali supaya kucing anda tidak kelaparan sewaktu dikurung.
Bagi yang membela kucing dengan cara melepaskannya di dalam rumah, selepas anda melatih cara ini, ada kemungkinan kucing anda akan mula membuang di tempat sama yang telah anda sediakan.
3. Atur masa kucing anda menggunakan tandas
Pada anda yang hanya letak kucing anda dalam sangkar, anda boleh aturkan kucing anda mengikut masa sesuai. Antara waktu yang sesuai adalah seperti berikut:
- Pagi: 6.00 pagi sehingga 8.00 pagi
- Tengah hari: 12.00 tengah hari sehingga 1.30 petang
- Malam: 7.00 malam sehingga 8.30 malam
- Lewat malam: 12.00 malam sehingga 1.00 pagi
Namun begitu, tidak semestinya perlu ikut waktu di atas ini kerana tidak semestinya kucing anda akan membuang pada setiap kali dikurung.
4. Cuka
Cuka boleh digunakan untuk menghalang kucing anda dari kencing di tempat yang sama kerana kucing suka untuk membuang di tempat yang sama. Anda boleh bersihkan tempat yang telah dicemari dengan menggunakan kain bersih sehingga kering dan kemudian bilas dengan sedikit air dan cuka bagi menghilangkan bau dari air kencing kucing anda.
5. Ajar kucing untuk menggunakan bekas pasir
Anda boleh sediakan kawasan khas yang mempunyai bekas berpasir untuk kucing anda membuang. Sebaiknya letakkan bekas tersebut didalam tandas supaya kucing anda senang untuk menyesuaikan diri ketika berada didalam tandas.
6. Beli toilet train kit untuk kucing
Cara terakhir yang boleh anda lakukan adalah dengan membeli toilet train kit untuk kucing anda dimana kit ini didatani oleh beberapa tahap-tahap berbeza. Untuk tahap pertama bekas 1 diletakkan pasir kucing dan biarkan kucing anda untuk membuang disitu. Apabila kucing anda makin mahir, barulah anda bertukar ke tahap yang seterusnya dimana bekas 2 dibuang sehinggalah kucing anda sudah mahir menggunakan tandas tanpa ada kehadiran pasir pun di situ.
Sumber: Themamamiaow