Senarai Jenama Gelatin Halal Di Malaysia Disahkan JAKIM

Apa itu gelatin? Adakah gelatin halal dimakan? Bagi anda yang selalu baca label pada gula-gula atau rajin buat manisan seperti puding, anda mesti perasan kewujudan gelatin dalam makanan.

Di Malaysia, ramai yang masih ‘takut’ nak makan gelatin sebab ia sering dikaitkan dengan makanan yang dikhuatiri status halalnya. Tapi, betul ke gelatin tak halal? Dalam artikel kali ini kami akan kongsikan maklumat mengenai apakah gelatin, dari mana sumber gelatin, dan jenama gelatin halal di Malaysia yang disahkan oleh JAKIM.

Istimewa: Tahukah Anda 5 Negara Yang Tiada Bahasa Rasmi

Gelatin Halal

Apakah Gelatin?

Apa itu gelatin? Menurut Portal MyHealth, perkataan ‘gelatin’ berasal daripada bahasa Latin iaitu ‘gelatus’ yang membawa makna ‘keras’. Gelatin adalah bahan semula jadi, iaitu bermaksud tiada gelatin yang dihasilkan daripada proses sintetik atau ubah suai kimia.

Pada asasnya, gelatin adalah sejenis protein yang dihasilkan daripada rangkaian kolagen yang diperoleh daripada kulit, tulang atau ligamen (tulang rawan) haiwan seperti lembu, kerbau, ikan atau khinzir.

Fungsi Gelatin

Berikut adalah antara contoh fungsi gelatin yang sesetengah pembuatan makanan menggunakan gelatin dalam makanannya:

  • Agen penstabil dalam produk hasilan daging seperti sosej
  • Agen pemekat dalam makanan bersos
  • Agen pembuih dalam produk susu terproses
  • Agen pelembut dalam produk bakeri dan aiskrim
  • Agen pembentuk dalam gula-gula dan jelly
  • Memperbaiki struktur dan penstabilan dalam yogurt, keju, dadih dan mentega
  • Penjernih dalam produk minuman dan sari buah

Jenis Gelatin

2 jenis gelatin yang biasa dijumpai di pasaran Malaysia adalah:

  • Gelatin bovine yang berasal dari lembu
  • Gelatin porcine yang berasal daripada khinzir

Gelatin untuk makanan boleh didapati sama ada dalam bentuk serbuk atau kepingan dan ia adalah hidrokoloid (mudah bersatu dengan air). Makanan yang mempunyai kandungan gelatin bovine boleh dimakan oleh orang Islam jika ia berasal dari lembu yang disembelih dan diuruskan dengan betul.

Namun gelatin bovine juga boleh dihasilkan daripada lembu yang tidak disembelih dan sumbernya adalah diragui dan ini perlu dielakkan dari dimakan. Gelatin menjadi isu dalam aspek halal kerana 90% pengeluaran gelatin dalam pasaran dunia adalah tidak dapat dipastikan status halal.

Namun, kini sudahpun terdapat kesedaran dalam isu ini dan ada pengeluar jenama gelatin halal yang muncul di Malaysia untuk memenuhi keperluan umat Islam.

Contoh Jenama Gelatin Halal Di Malaysia

Cara semak gelatin halal bagi produk gelatin adalah melalui laman web JAKIM.

gelatin halal

Jika anda ingin membuat carian sendiri tentang produk tertentu, sila layari pautan ini: http://www.halal.gov.my/v4/. Menurut carian terkini yang dilakukan pada 1 November 2020, didapati terdapat banyak produk gelatin halal di Malaysia, antaranya:

  1. Gelatin HALAGEL PRODUCTS SDN BHD
  2. Gelatin Crystal AEI INTERNATIONAL BERHAD
  3. Gelatin Powder PKS BAKERY INGREDIENTS SDN. BHD.
  4. Gelatin Powder TEHMAG FOODS CORPORATION SDN BHD
  5. Gelatin Powder (Cow Based) SINCA MARKETING
  6. Gelatin MY HERO HYPERMARKET SDN BHD
  7. Gelatine Bake With Yen BWY HOLDINGS SDN. BHD.
  8. Gelatin VGEL RESOURCES
  9. Fish Gelatine TRANS STANDARD INTERNATIONAL SDN BHD
  10. Gelatin PRESTIGE PHARMA SDN BHD
  11. Gelatin S.E.A FIELD FOOD INDUSTRIES SDN BHD
  12. Gelatin THONG SHENG FOOD TECHNOLOGY SDN BHD

Gelatin Dalam Produk Farmaseutikal & Suplemen

Menurut DoctorOnCall, gelatin bovine mempunyai pelbagai manfaat kesihatan dan boleh digunakan sebagai rawatan untuk sesetengah keadaan atau penyakit, contohnya:

  • Meningkatkan kesihatan kulit
  • Membantu pencernaan
  • Mengurangkan sakit sendi
  • Membantu mengawal tahap gula dalam darah
  • Mengekalkan tulang yang sihat
  • Meningkatkan kualiti tidur
  • Membantu mengurangkan berat badan

Sumber: Harian Post