Kepada penggemar kucing di luar sana, pasti akan mengalami masalah tidak tahan dengan bau najis kucing yang amat busuk. Dalam artikel ini kami akan kongsikan beberapa tips untuk kurangkan atau hilangkan bau najis kucing dengan murah, mudah dan cepat.
Hilangkan Bau Najis Kucing
Satu perkongsian dari Facebook Lembayung Cahya Rabbani mengenai cara untuk kurangkan bau najis kucing bagi mereka yang membela kucing dalam rumah.
Menurut beliau, kalau hendak kurangkan bau najis kucing, perkara utama yang perlu dibuat adalah kenalah rajin mencuci litterbox setelah dua atau tiga kali digunakan oleh kucing. Hasilnya bau najis akan kurang tetapi sebolehnya hendak dikurangkan lagi sehingga bau itu hampir tiada.
Kurangkan Bau Najis Kucing Dengan Mudah
Dengan menggunakan arang yang murah, sekitar RM4 ke RM6 (mengikut lokasi anda), potong separuh botol air besar (lagi besar lagi bagus), kemudian tebuk lubang banyak-banyak seperti dalam gambar di bawah dan masukkan arang sehingga penuh dan tutup atasnya sama ada dengan kain kasa pembalut luka, tisu atau kain biasa.
Selepas siap buat, bolehlah mula gantung bekas tersebut ditepi sangkar berdekatan dengan litterbox. Bagi kucing yang tidak duduk di dalam sangkar, anda boleh letakkan bekas tersebut ditepi litterbox kucing anda. Cara ini sedikit sebanyak dapat kurangkan bau najis kucing.
Cara sama boleh digunakan untuk diletakkan dalam kereta atau bilik. Kalau hendak diletakkan di dalam bilik, dicadangkan untuk menggunakan bekas yang lagi besar dengan cara penghasilan yang sama. Kalau rajin boleh hias sedikit bekas arang itu mengikut kreativiti masing-masing.