Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan beberapa maklumat penting menerusi sidang media pada 1 Julai 2020 lepas. Antaranya adalah mengenai pembukaan semula sekolah di mana semua murid tingkatan 5 dan 6 akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai 2020.
Untuk murid tahun 1 hingga 4 pula akan menyambung semula pembelajaran di sekolah pada 22 Julai 2020. Keputusan ini dibuat oleh KPM berdasarkan nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Namun begitu, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenai pembukaan semula sekolah dan pusat tuisyen ini.
Sekolah dikehendaki untuk mengikut salah satu dari tiga model pengoperasian pembukaan penuh sekolah yang diperkenalkan oleh KPM
Model-model tersebut adalah seperti berikut:
- Model Satu Sesi: Model ini ialah untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, setelah mengambil kira penjarakan sosial.
- Model Dua Sesi: Model ini ialah untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.
- Model Penggiliran: Model ini ialah untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi. Kebanyakan sekolah di dalam kategori ini adalah sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.
Bagi Model Penggiliran untuk sekolah menengah, murid Tingkatan 5 dan 6 perlu hadir ke sekolah setiap hari. Manakala kehadiran murid Tingkatan 1 hingga 4 perlu dibuat secara bergilir-gilir mengikut kelas atau aliran tertentu.
Pusat tuisyen juga dibenarkan untuk beroperasi bermula 15 Julai 2020
Mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM dibenarkan untuk mula beroperasi sama seperti sekolah pada 15 Julai 2020. Bagi institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan.
Bermula 1 Julai 2020, murid yang memohon untuk melanjutkan pelaran di tingkatan 6 boleh menyemak keputusan penawaran
Untuk keputusan penawaran kemasukan calon lepasan SPM 2019 ke tingkatan 6 Semester 1 2020 boleh disemak mulai 1 Julai 2020 melalui portal KPM. Murid akan mula mendaftar pada 15 Julai 2020.
Kemasukan murid sekolah berasrama dikehendaki untuk mematuhi garis panduan khusus
Pembukaan semula sekolah berasrama dilaksanakan mengikut kapasiti asrama sekolah masing-masing. Asrama yang mempunyai kapasiti yang mencukupi setelah mengambil kira penjarakan sosial akan beroperasi seperti biasa.
Manakala, bagi asrama yang mempunyai kapasiti ruang terhad setelah mengambil kira penjarakan sosial, pada peringkat awal, hanya sebahagian murid sahaja dapat tinggal di asrama. Antara kekangan utama adalah penggunaan katil dua tingkat
Mengikut saranan KKM, pada peringkat awal kemasukan, murid hanya menggunakan katil bawah sahaja. Namun, selepas tempoh 14 hari, kumpulan murid baharu dibenarkan masuk ke asrama dengan menempatkan murid sedia ada di katil atas manakala murid baharu di katil bawah. Prosedur ini diteruskan sehingga semua murid dapat tinggal di asrama.
Untuk asrama yang menggunakan katil dua tingkat, semua murid dijangka dapat kembali ke asrama dalam tempoh 28 hingga 42 hari daripada 24 Jun 2020. Tempoh untuk kembali ke asrama ini bergantung kepada bilangan murid dan akan ditetapkan oleh pihak sekolah.
Aktiviti kokurikulum dan sukan masih tidak dibenarkan
Menteri pendidikan memberitahu bahawa masih tidak selamat untuk murid menyertai sebarang aktiviti kokurikulum dan sukan. Murid hanya kembali ke sekolah untuk tujuan pendidikan sahaja.
Perubahan kepada cuti akhir tahun
Keutamaan pada masa sekarang adalah untuk para murid mempunyai masa yang mencukupi untuk persediaan terhadap tahun-tahun akan datang. KPM mendapati pengajaran dan pembelajaran murid secara dalam talian dan secara Home-Based Learning adalah kurang berkesan berbanding secara bersemuka.
Oleh sebab itu, KPM telah menetapkan untuk mengurangkan cuti akhir tahun sebanyak 2 minggu supaya murid-murid mempunyai masa mencukupi untuk menghabiskan pelajaran mereka pada tahun ini.
Sumber: Says.com