9 Jenama Popular Luar Negara Yang Disangka Berasal Dari Malaysia

Dalam artikel kali ini kami akan kongsikan beberapa jenama luar negara popular yang disangkakan berasal dari Malaysa. Jenama-jenama berikut kebanyakkannya telah lama diasaskan, pada ketika negara kita masih pun belum merdeka.

Istimewa Lain: Senarai Bidang Dengan Permintaan Kerja Yang Tinggi Di Malaysia 2021

Jenama Luar Negara Popular Yang Disangka Dari Malaysia

Ayam Brand

Ingatkan dengan nama jenama ini ada perkataan “Ayam”, sudah semestinya kita ingat ianya produk Malaysia bukan? Sebenarnya bukan.

Sejarah Ayam Brand berbalik kepada seorang lelaki Perancis yang bernama Alfred Clouet. Beliau mengasaskan produk ini di Singapura pada tahun 1892, yang ketika itu merupakan sebahagian daripada Malaya di bawah pemerintahan British. 

Bisnes Ayam Brand pada ketika itu lebih kepada membekalkan makanan untuk pekerja koloni, serta membekalkan bahan-bahan binaan. Produk makanannya pada ketika itu dilihat sebagai produk mewah kerana makanan tin masih belum mampu dibeli rakyat. 

Kini, jenama Ayam Brand dimiliki oleh Denis Frerez Group, dan mereka menjadi pembekal utama makanan tin di sekitar Asia.

Milo

Siapa yang tidak kenal pada Milo bukan? Milo pada asalnya diasaskan oleh Thomas Mayne, seorang ahli kimia industri dan pencipta pada tahun 1934. Beliau melancarkan produk tersebut di Sydney Royal Easter Show, dan mula menghasilkan Milo berskala besar di kilang yang terleta di Smithtown, New South Wales, Australia. 

Nama Milo diambil dari seorang legenda atlit gusti Greek yang terkenal kerana kekuatan tenaga beliau. Atlit tersebut adalah Milo of Croton.

Nescafe

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kopi Nescafe menjadi salah satu dari minuman pembuka hari mereka. Sedihnya, kopi kegemaran kita ini bukanlah produk Malaysia. Nescafe dimiliki oleh sebuah syarikat Switzerland, iaitu Nestlé.

Nestlé diasaskan oleh Henri Nestlé sekitar tahun 1866. Produk pertama beliau adalah makanan bayi berasaskan susu.  Pada tahun 1867, Daniel Peter, seorang pakar coklat, mula menyempurnakan ciptaan Nestlé melalui proses pembuatan susu coklat. Nestlé turut memainkan peranan penting dalam mencipta proses tersebut.

Henri Nestlé bersara pada 1875 namun syarikat tersebut yang di bawah pengurusan dan pemilikan baru mengekalkan nama Nestlé sebagai nama syarikat.

Maggi

Maggi adalah antara makanan kegemaran rakyat Malaysia, terutama mereka yang belajar di sekolah asrama penuh mahupun universiti. Memasak Maggi adalah mudah dan cepat, menjadi makanan asas ketika peperiksaan menjelang. Harganya pula adalah murah.

Maggi sebenarnya adalah sebuah jenama, bukannya sebuah produk sahaja. Selalunya kalau orang menyebut Maggi, pasti terbayang mee segera berperisa kari.

Maggi diasaskan oleh Julius Maggi pada tahun 1884 di Switzerland, setelah beliau mengambil alih kilang ayahnya. Produk Maggi dengan cepat mendapat tempat di hati rakyat penduduk pada ketika itu, dan beliau menjadi pengasas kepada industri pembuatan makanan.

Bata

Hampir setiap daripada kita pasti pernah memiliki kasut Bata. Sebahagian daripada rakyat Malaysia menganggap memakai kasut Bata sebagai tidak cool seperti jenama-jenama lain kerana ia produk tempatan. Ramai yang ingat nama Bata itu ialah batu bata yang digunakan untuk membuat pembinaan. 

Sebenarnya Bata telah diasaskan oleh 3 orang adik beradik iaitu Anna, Tomas dan Antonin Bata di Republick Czech pada tahun 1894. Kini, syarikat ini berpangkalan di Switzerland.

Pilot

Pada zaman sekolah dahulu, mesti kita pernah memiliki pen atau pensil mekanikal Pilot (kita panggil pensil shaker).

Pilot sebenarnya merupakan produk keluaran Jepun. Nama pilot itu sendiri langsung tidak menggambarkan bahawa ianya dari Jepun, lebih kepada barat. Pilot sebenarnya diasaskan oleh Ryosuke Namiki dan Masao Wada pada tahun 1918 dengan nama syarikat Namiki Manufacturing Company.

Kini, produk keluaran Pilot digunakan di seluruh dunia terutamanya di Eropah seperti di Jerman, Perancis dan United Kingdom.

Horlicks

Selain Milo, Horlicks juga adalah salah satu minuman kegemaran rakyat Malaysia. Pada tahun 1869, William Horlick telah berpindah ke Amerika Syarikat dari United Kingdom. Pada tahun 1873, James Horlick yang merupakan seorang ahli farmasi, telah ke Amerika Syarikat untuk bersama abangnya membuka sebuah syarikat iaitu J & W Horlick. 

Syarikat ini mengeluarkan minuman susu malt sebagai minuman alternatif kepada susu ibu. Kini syarikat ini dimiliki oleh sebuah syarikat British iaitu GlaxoSmithKline (GSK). 

GSK merupakan syarikat yang sama yang menghasilkan Ribena, satu lagi produk yang ramai rakyat Malaysia tersalah anggap produk tempatan.

Lipton

Lipton merupakan jenama yang dikaitkan dengan teh, dan ramai di antara kita tersalah anggap bahawa Lipton berasal dari Cameron Highland.

Lipton sebenarnya diasaskan di Scotland pada tahun 1871, dan ia bermula sebagai rangkaian supermarket dan bukannya pengeluar teh. Pengasasnya, Thomas Lipton hanya mula menceburi bidang teh ini 9 tahun selepas mengasaskan Lipton, dengan membeli sebuah taman teh di Sri Lanka. 

Lipton kini dimiliki oleh sebuah syarikat Belanda-British, iaitu Unilever.

Tropicana

Jus Tropicana yang popular ini sebenarnya diasaskan pada tahun 1947 oleh Tropicana Producs Inc., sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Syarikat ini kini dimiliki oleh PepsiCo, syarikat yang sama memiliki Pepsi dan Gatorade. 

Sejarah Tropicana bermula oleh seorang pemuda berbangsa Itali iaitu Anthony T. Rossi. Dengan berbekalkan sijil sekolah menengah, beliau telah berpindah ke Amerika Syarikat bagi mencari peluang pekerjaan ketika berusia 21 tahun. 

Beliau pernah menjadi pemandu teksi, peruncit di New York, peladang di Virginia dan akhirnya berpindah ke Florida pada tahun 1940. Di sana, beliau terlibat dalam industri citrus. Bermula dari sinilah bagaimana syarikat Tropicana diasaskan.

Sumber: Iluminasi