Koleksi Loghat Kedah Serta Contoh Maksud Dan Ayat

Dalam artikel kali ini kami akan kongsikan senarai bahasa loghat kedah dan kamus loghat kedah untuk memudahkan anda belajar loghat kedah. Maksud loghat kedah dan contoh loghat kedah turut disediakan.

Panduan lain: Koleksi Teka Teki Lucu, Susah, Lawak 2021 (Soalan & Jawapan)

Loghat Kedah

Berikut adalah senarai beberapa loghat kedah popular yang boleh anda pelajari.

Kamus Loghat Kedah

Rengau (ghe.ngau)

Maksud: cakar

Contoh ayat: Kucin tu dok tak dok tiba-tiba mai rengau ceq taksat.

(Kucing itu tidak semena-mena datang mencakar saya sebentar tadi.)

Nyerama (nye.gha.ma)

Maksud: berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu

Contoh ayat: Lepaih viral ja kedai coq pisang mak nakan ceq tu, semua orang pakat nyerama nak pi beli.

(Selepas tular gerai cucur pisang ibu saudara saya itu, ramai orang berebut-rebut datang ingin membeli di situ.)

Rabung (gha.bong)

Maksud: banyak cakap, terlalu ramah

Contoh ayat: Tak sangka laki Che Nab tu jenih rabung masuk ayaq macam kita jugak noh.

(Tak sangka suami Che Nab itu jenis banyak cakap, gila-gila macam kita juga ya.)

Lalu (la.lu)

Maksud: berselera

Contoh ayat: Lepaih putuih cinta dengan marka dia, Own tak lalu makan sampai serah badan dia.

(Selepas putus cinta dengan teman wanitanya, Khairul tidak berselera untuk makan sehingga kurus badannya.)

Rabat/Kerabat (gha.bat)

Maksud: panjat

Contoh ayat: Piah, pi tengok anak hang sat tu, takut jatuh tetomoih. Dia dok rabat ghusi cari apa tatau kat dapoq.

(Piah, pergi tengok anak awak itu, takut dia jatuh tersungkur. Dia panjat kerusi mencari entah apa barang di dapur.

Seregum (se.ghe.gum)

Maksud: kusut-masai

Contoh ayat: Awat hang seregum sangat nak pi inteviu ni?

(Kenapa rupa awak begitu kusut-masai untuk pergi temu duga?)

Dan (dan)

Maksud: sempat

Contoh ayat: Aku rasa hang tak dan la nak ligan lampu hijau sebelum kona depan tu.

(Saya rasa awak tak sempat untuk mengejar lampu hijau sebelum membelok di hadapan.)

Bertuh (be.ghe.toh)

Maksud: bersentuh, berlaga, berlanggar

Contoh ayat: Pa’an tu mentang dah femes masuk tv, jalan bertuh bahu dengan aku pun dia buleh buat tak kenai.

(Mentang-mentang Farhan sudah popular dan muncul di kaca TV, jalan berlanggar bahu dengan saya pun dia pura-pura tidak mengenali.)

Baloq liat (ba.lo’ liat)

Maksud: pemalas

Contoh ayat: Hang ni baloq liat sunggoh, kira nak lena ja dari cerah sampai kelam.

(Awak ni pemalas betul, asyik tidur saja dari siang sampai ke malam.)

Pedo (pe.do)

Maksud: berhati-hati

Contoh ayat: Pedo sikit bawak ayaq tu, satgi tumpah jenuh nak lap.

(Berhati-hati ketika membawa air itu. Jika tumpah nanti, bersusah-payah pula untuk dilap)

Haring (ha.ghin)

Maksud: hancing

Contoh ayat: Hang tak cerok ayaq ka tiap kali pi bilik ayaq? Haring betui bau kencin hang.

(Awak tak simbah airkah setiap kali ke tandas? Hancing betul bau air kencing awak.)

Ligan (li.gan)

Maksud: kejar

Contoh ayat: Pidoih ligan kawaq tu sampai depan lau Bang Man, paihtu depa dok begomoi sampai tok pengulu mai.

(Firdaus mengejar pencuri itu sampai depan reban ayam Abang Man. Kemudian mereka bergaduh/bergusti sehingga ketua kampung sampai.)

Sumber: Iluminasi