Bulan Ramadhan pada tahun ini akan sedikit berlainan kerana semua umat Islam di Malaysia akan mengerjakan solat Tarawih di rumah secara bersendirian atau berjemaah berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pada ketika ini dilanjutkan sehingga 28 April 2020.
Walaupun solat Tarawih hanya dibenarkan untuk dilakukan di rumah, umat Islam di Malaysia seharusnya memeriahkan malam-malam di bulan Ramadhan ini dengan ibadat solat sunat Tarawih, sunat Witir, tadarus al-Quran dan lain-lain amal kebajikan dengan tujuan mencapai keredhaan Allah SWT dan kelebihan beribadat di malam “Lailatul Qadr”.
Info Khas: Kadar Zakat Fitrah Terkini Seluruh Negeri 2021
Info Khas: Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak 2021 1442H Jakim Malaysia
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun ini telah mengeluarkan panduan untuk solat Tarawih yang digalakkan untuk dilakukan di rumah secara bersendirian ataupun secara berjemaah. Pautan untuk panduan tersebut boleh didapati di hujung artikel ini. Berikut adalah ringkasan panduan solat Tarawih yang disediakan oleh JAKIM.
Hukum Solat Sunat Tarawih
- Hukumnya adalah sunat Muakkad (yang sangat dituntut) dikerjakan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan sama ada secara berseorangan atau berjemaah.
- Sunat dikerjakan di masjid, surau dan lain-lain tempat solat orang-orang Islam.
Waktu Sesuai Solat Sunat Tarawih
Sesuai ditunaikan selepas menunaikan solat Isyak dan sunat ba’diah (selepas isyak) dua rakaat.
Bilangan Rakaat Solat Sunat Tarawih
- Solat sunat Tarawih ditunaikan seperti solat sunat biasa, iaitu dua rakaat dan satu salam, kemudian diulangi semula sehingga genap rakaat yang dikehendaki.
- Umat Islam di Malaysia boleh dilihat ada yang mengerjakan solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.
- Pada zaman Rasulullah SAW solat Sunat Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat sahaja supaya tidak menimbulkan keberatan.
- Walau bagaimanapun terdapat juga hadith yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah mengerjakan sebanyak 20 rakaat.
- Bilangan rakaat solat sunat Tarawih dilakukan mengikut kemampuan kita.
Cara Mengerjakan Solat Sunat Tarawih
Berikut adalah ringkasan cara mengerjakan solat sunat Tarawih yang boleh dilakukan di rumah secara bersendirian atau berjemaah.
1. Lafaz Niat Solat Sunat Tarawih
Maksud: Sahaja aku solat sunat Tarawih dua rakaat makmum (mengikut imam) kerana Allah Taala.
2. Menyempurnakan Rukun Solat Yang Lain
Rukun solat sunat Tarawih ini samalah dengan rukun solat yang lain juga. Ini bermaksud selepas lafaz niat dan takbiratul ihram, kita perlu membaca Surah Al-Fatihah, Surah pilihan, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan kemudian meneruskan rakaat kedua sehinggalah bacaan tahiyat akhir dan diakhiri dengan salam.
Bacaan Surah Solat Sunat Tarawih
Tidak salah untuk kita membaca apa-apa Surah yang dihafal selepas membaca Surah Al-Fatihah, tetapi dari malam 1 hingga 15 Ramadhan digalakkan untuk pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca satu surah yang bermula dari Surah Al-Takathur hingga Surah Al-Masad. Susunan surah-surah adalah seperti berikut:
- Surah Al-Takathur
- Surah Al-Asr
- Surah Al-Humazah
- Surah Al-Fil
- Surah Quraisy
- Surah Al-Ma’un
- Surah Al-Kauthar
- Surah Al-Kafirun
- Surah An-Nasr
- Surah Al-Masad
Pada tiap-tiap rakaat yang kedua pula digalakkan untuk baca Surah Al-Ikhlas. Dari malam 16 hingga ke akhir Ramadhan, kita digalakkan:
- Pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca Surah Al-Qadr.
- Pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca satu Surah seperti yang dibaca pada rakaat yang pertama bagi malam-malam 1 hingga 15 Ramadhan iaitu bermula dari Surah Al-Takathur hingga kepada Surah Al-Masad.
Selawat Dan Wirid Antara Solat
Selawat dan bacaan tertentu sebelum memulakan atau di antara solat sunat Tarawih tidaklah diwajibkan jika kita tidak menghafalnya. Namun kita digalakkan untuk mengamalkannya bagi menambahkan lagi ibadat pada bulan Ramadhan ini. Dibawah ini adalah bacaaannya:
Cara Mengerjakan Solat Sunat Witir
Kebiasaannya, umat Islam di Malaysia menunaikan solat sunat Witir selepas solat sunat Tarawih. Solat sunat Witir dilakukan sebanyak tiga rakaat dengan dua salam dan dilakukan secara berjemaah. Secara mudahnya, berikut adalah cara mengerjakan solat sunat Witir.
1. Lafaz Niat Solat Sunat Witir
Bagi dua rakaat yang pertama:
Maksud: Sahaja aku solat sunat Witir dua rakaat makmum (mengikut imam) kerana Allah Taala.
Bagi satu rakaat yang terakhir:
Maksud: Sahaja aku solat sunat Witir satu rakaat makmum (mengikut imam) kerana Allah Taala.
2. Menyempurnakan Rukun Solat Yang Lain
Rukun solat sunat Witir ini samalah dengan rukun solat yang lain juga. Ini bermaksud selepas lafaz niat dan takbiratul ihram, kita perlu membaca Surah Al-Fatihah, Surah pilihan, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan kemudian meneruskan rakaat kedua sehinggalah bacaan tahiyat akhir dan diakhiri dengan salam.
Kemudian lafaz niat untuk rakaat yang ketiga dan selepas lafaz niat dan takbiratul ihram, kita perlu membaca Surah Al-Fatihah, Surah pilihan, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan bacaan tahiyat akhir dan diakhiri dengan salam.
Bacaan Surah Solat Sunat Witir
Tidak salah untuk kita membaca apa-apa Surah yang dihafal selepas membaca Surah Al-Fatihah, tetapi kita digalakkan untuk membaca Surah-Surah berikut:
- Rakaat pertama: Surah Al-A’la
- Rakaat kedua: Surah Al-Kafirunn
- Rakaat ketiga: Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas
Pada malam ke-16 hingga akhir bulan Ramadhan, kita disunatkan untuk membaca doa Qunut pada rakaat yang terakhir. Lafaznya sama dengan lafaz doa Qunut sembahyang Subuh.
Panduan Penuh JAKIM
Di atas ini hanyalah ringkasan yang diambil dari panduan yang disediakan oleh pihak JAKIM. Untuk rujukan, anda boleh melihat panduan penuh di sini.
Sumber: JAKIM