Solat Dhuha adalah salah satu solat sunat yang amat dituntut dilakukan oleh setiap umat Islam. Berikut adalah panduan lengkap cara mengerjakan solat sunat dhuha dan cara bacaan doa dhuha yang ringkas mengikut sunnah.
Solat Dhuha merupakan Solat Sunat yang sering disebut sebagai ‘amalan pembuka rezeki’ ini mempunyai pelbagai kelebihan. Solat dhuha juga dikenali dengan nama solat al-Awwabin.
Cara Solat Dhuha
Berikut dikongsikan maklumat lanjut tentang Solat Sunat Dhuha beserta panduan doa Dhuha yang lengkap.
Waktu Solat Dhuha
Waktu Solat Sunat Dhuha bermula daripada terbitnya matahari (selepas waktu syuruk) sehingga sebelum tergelincir matahari. Waktu terbaik untuk Solat Sunat Dhuha ialah ketika pasir menjadi panas disebabkan matahari sudah mulai terpancar terik.
Bilangan Rakaat Solat Sunat Dhuha
Solat Dhuha boleh dilakukan dengan dua rakaat paling sedikit, kemudian seterusnya empat, enam, lapan sehingga 12 rakaat paling banyak. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, bilangan rakaat paling afdhal bagi Solat Sunat Dhuha adalah sebanyak 8 rakaat.
Cara Solat Beserta Doa Dhuha
Lafaz Niat Solat Dhuha
Bacaan rumi: Usollii sunnatadh-dhuhaa rak’ataini lillaahi ta’aalaa
Ertinya: ”Sahaja aku Solat Sunat Dhuha dua rakaat, kerana Allah Taala.”
Bacaan Surah Al-Fatihah
Setelah takbiratul ihram, baca surah al-Fatihah seperti biasa.
Bacaan Surah Solat Dhuha
Ringkasnya, kita boleh membaca mana-mana surah yang dihafal dalam semua solat sunat. Namun antara surah-surah yang dianjurkan ulama dalam solat dhuha ialah:
- Ayat Kursi (Rakaat Pertama) dan Al-Ikhlas (Rakaat Kedua) atau;
- As-Syams (Rakaat Pertama) dan Ad-Dhuha (Rakaat Kedua) atau;
- Al-lail (Rakaat Pertama) dan Al-Insyirah (Rakaat Kedua).
Kemudian solat diteruskan seperti biasa sehingga cukup 2 rakaat.
Bacaan Semasa Sujud Akhir Solat Dhuha
Pada sujud akhir sebelum tahiyat akhir, boleh dibacakan zikir berikut:
Bacaan rumi: Wahab Li Ya Wahhab Ilman Wa Hikmatan War Zurqni Ya Razzaq Kulli Musahala
Ertinya: Berikanlah kepadaku, wahai Tuhan yang Maha Memberi akan ilmu dan hikmah. Dan murahkanlah rezeki kepadaku, wahai Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki. Jadikanlah ia mudah bagiku.
Zikir Dan Doa Dhuha
Akhir sekali, selepas memberi salam dan melengkapkan bilangan rakaat yang diingini, ucapkanlah istighfar.
Ini menurut hadis sahih dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata bahawa Rasulullah SAW, di mana diriwayatkan selesai solat Dhuha, baginda membaca doa Dhuha / mengucapkan:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ
Bacaan rumi: Allahummagh fir lii wa tub ‘alayya, innaka antat tawwabur rahiim
Ertinya: Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang) sampai baginda membacanya seratus kali.
Kita juga boleh membacakan doa dhuha ini:
Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikanny adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu,
kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah,
jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah.
Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.
Kelebihan Solat Sunat Dhuha
Solat Dhuha merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh setiap muslim.
Diwasiatkan oleh Nabi SAW
Nabi SAW telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA agar tidak meninggalkan solat Dhuha ini:
“Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.”
[Riwayat al-Bukhari (1880) dan Muslim (721)]
Menyamai Sedekah Terhadap 360 Sendi
Antara kelebihan solat Dhuha yang lain adalah dua rakaat solat Dhuha menyamai kita telah melaksanakan sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.”
[Riwayat Muslim (720)]
Diberi Kecukupan
Daripada Nu’aim bin Hammar RA, bahawa Nabi SAW meriwayatkan daripada Allah SWT, firman Allah SWT:
“Wahai anak Adam! Janganlah kamu tinggalkan untukku 4 rakaat pada awal siangmu. Nescaya aku akan cukupkan bagimu di akhir siangmu.”
[Riwayat al-Tirmizi (475) dan Abu Daud (1289)]
Sumber: Ecentral