Solat Sunat Nikah

Solat sunat nikah ataupun solat sunat selepas akad nikah dilakukan bagi menzahirkan rasa kesyukuran dalam hati kepada Allah yang telah menentukan jodoh pertemuan dengan isteri/suami yang tersayang. Solat Sunat Nikah boleh dilakukan sejurus selesai majlis akad nikah atau pada masa yang sesuai.

Contoh Soalan Akad Nikah Yang Selalu Di Tanya Tok Kadi

Solat Sunat Nikah

Berikut merupakan maklumat-maklumat mengenai solat sunat selepas nikah seperti tujuan solat sunat nikah, waktu sesuai solat sunat nikah, cara solat sunat nikah.

Tujuan Solat Sunat Nikah

Seperti yang disebut, solat sunat lepas nikah dilakukan bagi melahirkan rasa kesyukuran dalam hati kepada Allah yang telah menentukan jodoh pertemuan dengan isteri/suami yang tersayang.

Waktu Sesuai Solat Sunat Nikah

Waktu yang terbaik boleh dilakukan solat sunat nikah berjemaah bersama isteri iaitu ketika isteri datang menemui suami. Riwayat daripada Abu Said, ada menyebutkan bahawa sahabat lain mengajarnya mengenai solat sunat nikah ini, katanya:

“Jika isterimu nanti datang menemuimu, hendaklah kamu berdua solat dua rakaat. Lalu mintalah kepada Allah kebaikan isterimu itu dan mintalah perlindungan kepadaNya daripada keburukannya. Seterusnya terserah kamu berdua.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Ulamak fiqh membenarkan solat sunat yang bersebab dilakukan di waktu yang dilarang, justeru harus (dibolehkan) bersolat sunat nikah walaupun ia dilakukan seperti pada selepas solat Asar kerana sebab bernikah.

Cara Solat Sunat Nikah

Solat sunat selepas nikah ini boleh dilakukan bagi pasangan yang baru selesai diakad nikahkan dan kedua-duanya disunatkan untuk mendirikan solat sunat ini, terutamanya lelaki. Bilangan rakaatnya ialah 2 rakaat dan dituruti dengan sujud syukur selepasnya.

Niat Solat Sunat Nikah

Lafaz dan niat solat sunat nikah adalah seperti berikut:

niat solat sunat nikah
Sumber: shafiqolbu

Bacaan Surah Solat Sunat Nikah

Surah-surah yang sunnah dibaca selepas Al-Fatihah adalah:

  1. Rakaat pertama: Surah Al-Kafiruun (Qulya Aiyuhalla kafirun)
  2. Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas (Qul huallahu ahad)

Sujud Syukur Selepas Salam

Kemudian, selepas salam dilakukan pula sujud syukur, ataupun boleh juga selepas akad terus dilakukan sujud syukur terlebih dahulu tanpa mengerjakan solat sunat nikah tersebut yang ditangguhkan pada sebelah malam nanti. Ia terpulang kepada kesesuaian dan keselesaan individu dan pasangan tersebut untuk melakukannya.

Membaca Doa Nikah

Membaca doa nikah yang bersesuaian atau boleh dibaca contoh di dalam bahasa Melayu berikut:

“Ya Allah! Dikau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, seru sekalian alam. Ya Allah! Daku bersyukur kepada-Mu, setelah selesai pernikahan kami ini, daku memohon pada-Mu Ya Allah; Dikau berkatilah pernikahanku ini, Dikau jadikanlah daku dan isteriku orang-orang yang soleh.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim! Kepada-Mulah kami memohon pertolongan. Dikau anugerahkanlah kepadaku isteri yang solehah, Dikau berikanlah daku dan isteriku petunjuk dan hidayah agar kami sentiasa di dalam keredhaan-Mu dan tunjukilah kami ke jalan yang lurus sepanjang hidup kami. Dikau berikanlah kami kekuatan untuk memimpin isteri dan mendidik bakal anak-anak kami ke jalan yang Dikau redhai.

Ya Allah, Ya Wadud! Dikau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Nabi Muhammad SAW dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dengan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim! Dikau anugerahkanlah padaku dan isteriku anak-anak yang ramai yang soleh dan solehah. Dikau anugerahkanlah kami dan anak cucu kami kesihatan dan kesejahteraan di sepanjang hayat kami dan sepanjang hayat mereka. Dikau peliharalah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosak kemesraan dan kebahagian rumahtangga kami.

Ya Allah, Ya Razaq, Ya Rashid! Dikau anugerahkanlah kepada kami akan rezeki yang bersih lagi baik, lindungilah kami dari mendapat rezeki yang keji dan haram. Dikau jadikanlah daku dan isteriku serta bakal anak-anak kami orang yang rajin mengerjakan solat dan bertaqwa. Dikau berikanlah petunjuk dan jalan sekiranya daku dan isteriku serta anak-anak kami tergelincir atau menyimpang ke jalan yang tidak Dikau redhai.

Ya Allah! Dikau anugerahkanlah padaku, isteriku dan keturunan kami kekuatan dan keimanan untuk berbuat baik dan amal soleh sepanjang hayat kami. Dikau peliharalah kami suami-isteri, anak-anak dan cucu-cucu kami dari sebarang mara bahaya, fitnah dan malapetaka yang tidak diingini samaada yang zahir mahupun yang batin.

Ya Allah! Dikau berkatilah umur kami suami-isteri, anak-anak kami dan cucu-cicit kami sehinggalah akhir hayat kami dan mereka. Dikau peliharalah kami suami-isteri, anak-anak kami dan cucu-cicit kami agar menjadi orang yang taat kepada-Mu Ya Allah, kepada kedua ibubapanya dan taat mengerjakan perintah-Mu dan taat dalam menjauhi larangan-Mu.

Bahagiakanlah rumah tangga kami Ya Allah! (3 kali),

Dikau berkatilah rumahtangga kami Ya Allah! (3 kali).”

Memegang Ubun-Ubun Isteri Dan Mengucapkan Lafaz Doa

Dianjurkan kepada seorang suami meletakkan tangannya di ubun-ubun si isteri ketika pertama kali mendekatinya. Ubun-ubun adalah bahagian puncak kepala di mana si suami letakkan telapak tangan kanannya atas puncak kepala isteri (biasanya selepas bersolat sunat berjemaah bersama-sama di malam pertama) dan bacakan doa memohon kepada Allah agar perkahwinannya mendapatkan berkah.

Hadis riwayat daripada Abu Daud dan Ibnu Majah, disebutkan bahawa Rasulullah bersabda:

“Apabila salah seorang di antara kamu menikahi seorang wanita atau membeli seorang budak, hendaklah ia memegang ubun-ubun isteri atau budak tersebut sambil menyebut nama Allah ‘Azza wa Jalla dan berdoa meminta berkah untuknya. Hendaklah ia mengucapkan:

doa mohon keberkatan isteri
Sumber: shafiqolbu

Kredit: Shafiqolbu