Sudah menjadi kebiasaan bagi kita untuk menyimpan buah-buahan dan sayur-sayuran sama ada yang baru dibeli ataupun lebihan yang dipotong untuk memasak di dalam peti sejuk, dengan harapan ianya akan kembali segar. Namun begitu, anda harus ketahui bahawa tidak semua jenis buah-buahan dan sayur-sayuran bertahan lama di dalam peti sejuk.
Menurut New York Times, hasil kajian dari University of Florida mendapati bahawa tomato yang disimpan di dalam peti sejuk cepat kecut dan hilang kesegarannya. Bukan itu sahaja, malah kesegaran dan rasa yang hilang dari tomato itu tidak akan kembali seperti asal meskipun selepas dikeluarkan dari peti sejuk. Keadaan peti sejuk yang dingin mengubah kestabilan sintesis di dalam tomato ataupun dalam erti kata mudah, ianya ‘membunuh’ khasiat tomato itu.
Salah seorang penyelidik, iaitu Harry Klee menjelaskan bahawa sebiji tomato yang lazat kebiasaannya mengandungi campuran yang kompleks dari asam, gula dan bahan kimia yang dikenali sebagai senyawa organik yang mudah mengewap dengan mengatur komposisi seimbang 30 bahan kimia. Pasukan Harry menjalankan ujian dengan menyimpan tomato dalam suatu tempat dingin kira-kira empat darjah Celcius (4°C) selama seminggu. Hasilnya? tomato itu mengalami ‘kejutan’ ketika kesejukkan, malah selepas sehari dikembalikan ke suhu bilik, rasa dan kesegarannya tidak seperti yang asal sebelum ianya dimasukkan ke tempat yang dingin.
Kesimpulannya di sini, jika tomato yang anda beli masih belum dipotong, seeloknya disimpan pada suhu bilik sahaja. Sekiranya ianya sudah dipotong, anda digalakkan untuk menghabiskannya sama ada makan mentah begitu sahaja atau anda boleh hiriskan tomato itu menjadi potongan nipis-nipis dan diletakkan di muka anda supaya dapat menyihatkan dan mencantikkan wajah anda.