Ramai di antara kita yang gemar mengambil telur dalam diet makanan seharian. Bukan hanya telur merupakan sumber protein yang baik, malah ianya juga senang disediakan dan sedap rasanya. Namun begitu, pengambilan telur dalam kuantiti yang banyak tidak digalakkan kerana ianya dikatakan boleh membuatkan tahap kolestrol seseorang itu meningkat. Apakah penjelasan untuk hal ini? Adakah pengambilan telur yang banyak dalam diet akan membahayakan kesihatan? Berapa banyak pula pengambilan telur digalakkan?
Untuk menjawab persoalan-persoalan di atas, mari kita dengar dahulu kata-kata daripada beberapa orang yang pakar dalam hal ini. Menurut penulis The Small Change Diet, iaitu Keri Gans, dia berkata bahawa “untuk rata-rata orang, dua biji telur sehari masih baik-baik sahaja“.
Manakala, seorang pakar dari Preventive Cardiology Nutrition Program Cleveland Clinic, iaitu Julia Zumpano berkata “tiada rekomendasi khusus mengenai jumlah berapa banyak anda harus mengambil telur dalam diet seminggu“.
Harus diingatkan supaya untuk sentiasa peka dengan bahan yang digunakan bersama dalam hidangan telur tersebut. Sekiranya telur dimasak menggunakan minyak masak biasa ataupun hidangan telur dicampur bersama keju atau hirisan daging, maka kalori akan bertambah lalu mengurangkan manfaat telur itu sendiri. Anda digalakkan untuk menambah sayur-sayuran ke dalam hidangan telur seperti bayam atau sawi supaya mendapat manfaat nutrisi.
Sekiranya anda sudah mendapat banyak protein dan lemak dari sumber makanan lain, maka elakkan mengambil telur. Namun, jika anda tidak mendapat protein dan lemak dari sumber makanan lain, maka boleh sahaja mengambil telur dalam diet anda.