Dalam artikel ini kami akan kongsikan panduan dan info proses JPJ tukar nama (tukar hak milik kenderaan), borang tukar nama JPJ, cara tukar nama kereta, harga tukar nama kereta Puspakom.
Artikel berkaitan: Cara Buat Full Settlement Kereta
Cara Tukar Nama Kereta
Berikut adalah panduan cara tukar nama kereta yang dikongsikan oleh laman Qoala.
Tukar Hak Milik Kenderaan: Proses Tukar Nama Kereta 2022
Bagi anda yang ingin jual kereta lama atau beli kereta terpakai yang telah habis dibayar namun tidak mahu melakukan prosedur tukar nama kereta melalui orang tengah, panduan cara tukar nama kereta ini mungkin boleh membantu anda.
Secara amnya, proses tukar hak milik kenderaan perlu dilakukan di Jabatan Pengangkutan Jalan kerana memerlukan pengesahan biometrik (pengesahan cap jari).
Cara Tukar Nama Kereta JPJ (Secara Sukarela)
Proses tukar nama kereta perlu dilakukan dengan segera untuk mengelakkan implikasi lain yang boleh berlaku. Jika kereta dengan nama anda disalahgunakan untuk kegiatan jenayah misalnya, penama yang tercatat pada geran kereta bertanggungjawab terhadap kereta yang dimiliki.
Oleh sebab itu, penting untuk anda tukar nama kereta dengan segera sekiranya berlaku perubahan pemilik kereta untuk mengelakkan situasi sebegini daripada berlaku. Malah, ia akan menjadi lebih sukar sekiranya owner meninggal dunia kerana proses tukar nama akan menjadi lebih rumit dan memakan masa.
Berikut adalah proses cara tukar nama kereta JPJ atau tukar hak milik kenderaan:
Selesaikan Baki Bayaran
Jika anda ingin jual kereta lama anda kepada individu lain, anda perlu pastikan hutang atau baki bayaran kereta dilangsaikan sepenuhnya.
Pemeriksaan Puspakom Tukar Nama
Kedua, anda perlu lakukan pemeriksaan kereta di Puspakom untuk tukar nama kereta kepada nama pemilik baharu. Anda boleh lakukan sendiri proses ini atau pemilik baharu boleh hadir ke Puspakom untuk lakukan pemeriksaan.
Untuk mudahkan proses, buat janji temu dengan pihak Puspakom terlebih dahulu atau lakukan pemeriksaan bergerak Puspakom di lokasi pilihan anda. Pastikan anda bawa bersama kad pengenalan dan geran asal atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) ketika pemeriksaan.
Setelah pemeriksaan selesai, pihak Puspakom akan mengeluarkan Borang B5 Puspakom yang akan digunakan oleh pihak JPJ semasa prosedur tukar nama kereta dilakukan. Harga tukar nama kereta Puspakom adalah sebanyak RM30 sahaja.
Urusan di JPJ Tukar Nama (Pemilik Asal)
Sekiranya anda pemilik asal kereta, anda perlu hadirkan diri ke pejabat JPJ. Bawa bersama dokumen untuk tukar nama JPJ seperti kad pengenalan dan geran asal kenderaan atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).
Isi borang tukar nama JPJ – Borang Penyata Pertukaran Milikan Kenderaan Motor Secara Sukarela Oleh Pemunya Berdaftar (JPJ K3). anda perlukan maklumat-maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan serta alamat pemilik asal dan pemilik baharu untuk mengisi borang ini.
Semakan cap jari akan dilakukan, dan pihak JPJ akan keluarkan slip thumbprint menandakan urusan tukar hak milik kenderaan kini selesai bagi pihak anda.
Urusan di JPJ Tukar Nama (Pemilik Baharu)
Sekiranya anda adalah pemilik baharu pula, ambil maklum bahawa roadtax kereta dan insurans kereta akan terbatal secara automatik setelah urusan pengesahan cap jari pemilik asal dilakukan. Oleh itu, anda disarankan untuk renew roadtax kereta dan insurans kereta atas nama anda terlebih dahulu.
Setelah selesai, pihak JPJ akan mengeluarkan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) dengan pemilikan atas nama anda. Untuk urusan ini, anda perlu bawa dokumen penting seperti kad pengenalan, geran asal kenderaan atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC), borang B5 Puspakom dan slip thumbprint pemilik asal.
Cara Tukar Nama Kereta Online (Secara Sukarela)
Buat masa ini, prosedur tukar nama memerlukan anda ke JPJ untuk urusan pengesahan cap jari. Meskipun begitu, pihak JPJ ada menyediakan perkhidmatan tukar nama kereta tanpa ke JPJ – semua proses berkaitan dilakukan secara online, anda hanya perlu hadir ke JPJ untuk pengesahan sahaja.
Daftar Akaun MySikap
Sekiranya anda tidak mempunyai akaun dengan MySikap, anda perlu mendaftarkan akaun anda terlebih dahulu. Melalui MySikap, anda boleh melakukan urusan berkaitan secara dalam talian seperti pembaharuan dan pembatalan lesen kenderaan motor, pindah milik sukarela (JPJ tukar nama online), pembaharuan lesen memandu serta permohonan permit memandu antarabangsa, rayuan lesen memandu tamat tempoh dan semakan saman JPJ.
Log Masuk Akaun MySikap
Setelah selesai pendaftaran, anda boleh ikuti langkah berikut untuk proses tukar nama motor dan kereta online:
i. Pemilik Asal Kereta
- Log masuk dan pilih Kenderaan;
- Kemudian, pilih Permohonan Pertukaran Hak Milik Kenderaan (Pemilik Berdaftar);
- Masukkan Nombor Plat Kereta dan klik Teruskan;
- Maklumat akan dipaparkan – sahkan maklumat kemudian sekali lagi klik Teruskan;
- Masukkan alamat e-mel Pendaftar dan Pemilik Baharu, kemudian klik Teruskan
- Proses Selesai. Simpan resit untuk rujukan anda.
ii. Pemilik Baharu
- Log masuk dan pilih Kenderaan;
- Kemudian, pilih Permohonan Pertukaran Hak Milik Kenderaan (Pemilik Baharu);
- Masukkan Nombor Plat Kereta dan klik Teruskan;
- Bagi ruangan Pengisytiharan Kenderaan, pilih Semenanjung dan klik Teruskan;
- Masukkan maklumat pembayaran dan klik Bayar;
- Sahkan maklumat dan klik Teruskan;
- Cetak resit dan bawa bersama untuk proses selanjutnya di mana-mana cawangan JPJ berdekatan.
Cara Tukar Nama Kereta Owner Meninggal Dunia
Bagi kes owner kereta meninggal dunia pula, prosedur tukar nama kereta boleh dikatakan sedikit complicated lebih-lebih lagi jika pemilik asal tidak meninggalkan sebarang wasiat. Berikut merupakan panduan lengkap cara tukar nama kereta owner meninggal dunia untuk panduan anda:
Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah
Sekiranya pemilik asal tidak meninggalkan sebarang wasiat, waris boleh lakukan tuntutan pembahagian harta pusaka kecil terlebih dahulu. Setelah pengagihan selesai, waris akan menerima surat perintah pembahagian pemilikan harta yang ditinggalkan.
Waris yang menerima kenderaan atas nama si mati boleh melakukan proses tukar nama menggunakan surat perintah pembahagian sebagai sokongan pemilikan. Urusan ini perlu dilakukan dengan segera sebelum cukai jalan tamat tempoh.
Ini kerana, cukai jalan kereta yang masih berdaftar atau nama pemilik yang telah meninggal dunia hanya boleh diperbaharui sekali sahaja untuk tempoh enam (6) bulan oleh waris terdekat.
Pemeriksaan Puspakom Tukar Nama
Setelah urusan pembahagian harta pusaka selesai, waris perlu membawa kenderaan dan geran asal ke Puspakom untuk pemeriksaan. Sama seperti proses tukar nama kereta secara sukarela, pihak Puspakom akan mengeluarkan laporan B5 Puspakom yang akan digunakan semasa proses tukar nama dilakukan.
JPJ Tukar Nama
Setelah selesai kedua-dua proses di atas, waris boleh melakukan urusan tukar nama di mana-mana pejabat JPJ berdekatan. Harga tukar nama kereta JPJ adalah seperti berikut:
- Motor: RM30;
- Kereta: RM100;
- Kenderaan perdagangan: RM40;
- Kenderaan off-road: RM100
Bagi melancarkan urusan hak milik kenderaan, waris atau pemohon dinasihatkan untuk hadir sendiri ke JPJ. Sekiranya pemohon ingin menghantar wakil bagi pihak mereka, pemohon perlu menyediakan maklumat pengesahan diri serta surat rasmi lantikan wakil.
Bagi urusan ini juga, pemohon perlu sediakan dokumen tukar nama kereta seperti berikut:
- Salinan perintah Mahkamah Tinggi yang disahkan oleh Mahkamah; atau
- Salinan Surat Geran Probet yang disahkan oleh Mahkamah; atau
- Salinan Surat Pentadbir Pusaka yang disahkan oleh Mahkamah; atau
- Salinan Perintah Pembahagian/Perintah Pemberian Surat Kuasa Mentadbir di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 yang disahkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian; atau
- Salinan Perintah Faraid yang disahkan oleh Mahkamah Syariah;
- Akuan sumpah (dibuat oleh pewaris seperti dalam perintah faraid) berkenaan penolakan harta hendaklah disertakan bersama;
- Akuan sumpah hendaklah dibuat dihadapan pesuruhajaya sumpah yang berkhidmat dengan kerajaan/Majistret/Hakim;
- Akuan sumpah ini hendaklah disertakan bersama apabila Perintah Faraid tidak menyatakan penama/pewaris kepada kenderaan motor milik si mati.
- Salinan Jadual Tiga oleh Mahkamah Anak Negeri Sabah yang disahkan oleh Mahkamah Anak Negeri Sabah; atau
- Salinan Perintah dalam bentuk Form C yang disahkan oleh Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah.
Sumber: Qoala