Koleksi Doa Untuk Suami Tercinta

Dalam artikel kali ini kami akan kongsikan koleksi doa untuk suami seperti doa untuk suami tercinta, doa untuk suami bekerja, doa untuk suami yang curang, doa untuk suami yang jauh, doa untuk suami yang selalu menyakiti hati isteri, doa untuk suami yang sakit, doa untuk suami tercinta yang sudah meninggal dunia, dan lain-lain.

Doa menarik lain: Doa Untuk Ibubapa (Bacaan Rumi Disediakan)

Doa Untuk Suami

Berikut adalah koleksi doa untuk suami yang diambil dari pengantinbaru.

Doa Untuk Suami Tercinta

Ya Allah, anugerahkanlah suamiku balasan yang sebaik-baiknya kerana membimbingku ke jalan-Mu dan pahala yang besar atas kasih sayangnya yang melimpah-ruah ke atas ku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, berikanlah antara kami dan suami kami cinta seperti yang Engkau kurniakan kepada Rasulullah S.A.W dan Saidatina Khadijah.

Ya Allah, semoga dia menghormatiku, menjagaku, dan memimpinku ke jalan Mu.

Ya Allah, Tuhan yang memiliki kasih sayang dan rahmat yang sungguh luas, limpahkanlah kasih sayang di antara kami berdua di dunia dan juga di Syurga-Mu.

Ya Tuhanku, Engkau limpahkanlah sifat tawadhuk dalam diriku untuk mengikut perintah suamiku dalam meniti jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang beriman.

Jika suamiku adalah yang terbaik buatku, maka, jauhilah aku daripada melakukan perbuatan dan kata-kata yang boleh menyinggung perasaannya. Dan permudahkanlah urusannya dalam membimbing keluargaku agar kami semua memperoleh rahmat dan keberkatan dari Mu ya Allah.

Doa Untuk Suami Bekerja

Ya Allah, Engkau permudahkanlah urusan suamiku dalam mencari rezeki untuk keluarga kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Rezeki.

Ya Allah Yang Maha Kaya, perbanyakkanlah rezeki buat keluargaku dan berkatilah kurniaan yang Engkau beri.

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu, limpahkanlah rezeki-Mu yang luas kepada keluargaku. Sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Kaya Lagi Maha Penyanyang.

Ya Allah Ya Tuhanku Yang Maha Kaya lagi Maha Pemurah dan Yang Maha Mengasihani lagi Maha Penyayang. Berikanlah aku kekayaan harta yang Engkau halalkan dan bukan yang Engkau haramkan, berikanlah aku kelebihan dengan berkat kurniaan-Mu.

Doa Untuk Suami Yang Curang

Ya Allah, jika dia bukan untukku, Engkau tabahkanlah hatiku untuk menghadapi cubaan dari-Mu dan Engkau terangilah jalan yang terbaik buatku.

Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan, kurniakanlah aku kekuatan-Mu untuk memperbetulkan keadaannya. Sesungguhnya Engkau yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Doa Untuk Suami Yang Jauh

Ya Allah, jagalah suamiku ketika dia berjauhan dari aku dan keluarga. Aku menitipkan agamamu, amanahmu, dan perbuatan terakhirmu kepada Allah.

Ya Allah, lindungilah suamiku tidak kira di mana dia berada. Dan permudahkanlah segala urusannya dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.

Doa Untuk Suami Yang Selalu Menyakiti Hati Isteri

Ya Allah, sesungguhnya hatiku ini sering disakiti oleh suamiku. Engkau ampunilah dosanya, dan lembutkanlah hatinya untuk berubah menjadi seorang suami yang baik. Dan tabahkanlah diriku ini untuk menghadapi segala dugaan-Mu.

Doa Untuk Suami Yang Sakit

Ya Allah, Tuhan kepada umat manusia, aku memohon kepada-Mu, untuk melenyapkan segala penyakit yang ada pada suamiku. Berikanlah dia kesihatan yang baik agar boleh kembali beribadah kepada-Mu seperti sedia kala. Sesungguhnya Engkau Penyembuh untuk segala penyakit.

Ya Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, kurniakanlah kesihatan yang baik buat suamiku. Ringankanlah bebanannya untuk menanggung segala kesakitan yang dialami olehnya ya Allah. Dan aku memohon keampunan dari-Mu kerana sesungguhnya, Engkau Tuhan yang Maha Pengampun.

Doa Untuk Suami Tercinta Yang Sudah Meninggal Dunia

Ya Allah,  ampunilah segala dosa-dosa suamiku, Engkau rahmatilah dia dan tempatkanlah dia dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Ya Allah Ya Tuhanku, maafkanlah segala kesilapan yang telah dilakukan oleh suamiku ketika ia masih hidup di dunia ini. Lapangkanlah kuburnya dan berilah tempat tinggal yang lebih baik buatnya di akhirat kelak. Dan masukkanlah ia ke dalam syurga-Mu dan jauhilah ia dari seksa kubur dan seksa api neraka.

Sumber: Pengantinbaru