Jenis Masker Muka Terbaik & Cara Pakai Masker Tepat

Dalam artikel ini kami akan kongsikan info mengenai jenis masker muka terbaik dan cara tepat pakai masker ikut jenis kulit muka.

Artikel berkaitan: Cara Hilangkan Parut Jerawat Dengan Mudah & Cepat

Masker Muka

Berikut adalah maklumat mengenai masker muka yang dikongsikan oleh artikel asal di Hello Doktor.

Jenis kulit dan kandungan masker wajah

Jika anda melakukan carian di internet, pastinya anda akan mendapat pelbagai formula, bahan dan jenis masker muka yang boleh dicuba. Tetapi adakah ia sesuai dengan kulit wajah anda?

Usah keliru. Cara paling mudah untuk menentukan kandungan bahan dalam masker adalah dengan mengetahui jenis kulit wajah anda terlebih dahulu.

Berjerawat

Walaupun masker wajah bukanlah rawatan jangka panjang untuk mengatasi masalah jerawat, namun pemakaiannya boleh membantu mengurangkan keradangan serta mencegah kemunculan jerawat.

Anda boleh mencari masker dengan kandungan asid salisilat, benzoyl peroksida dan bahan semula jadi seperti yogurt dan betik untuk menyingkirkan kulit mati dan bahan-bahan yang menyumbat liang pori.

Penggunaan masker dengan bahan seperti oat dan lidah buaya dapat menenangkan kulit. Manakala masker daripada tanah liat dan arang membantu menyerap lebihan minyak.

Bintik hitam dan pigmentasi

Mempunyai masalah dengan bintik hitam pada bahagian wajah? Dengan keupayaan untuk mencegah masalah pigmentasi, vitamin C harus menjadi ramuan utama dalam pemilihan jenis masker muka anda.

Masker dengan kandungan bahan seperti asid Kojic, asid aselaic dan akar licorice akan dapat membantu mengurangkan dan mencerahkan kulit yang berdepan dengan masalah pigmentasi.

Bahan-bahan dengan fungsi pengelupasan seperti asid alpha hydroxy(AHAs), asid laktik dan nanas juga dapat menyingkirkan kulit mati serta mengurangkan masalah warna kulit tidak sekata.

Kulit kering

Individu dengan kulit wajah kering memerlukan hidrasi yang secukupnya. Ini bermakna anda perlu menggunakan masker wajah yang mengandungi fungsi pengekangan air, asid hyaluronik.

Pelembap seperti avokado atau shea butter juga boleh membantu melembut dan melicinkan kulit wajah anda.

Garis kedutan

Walaupun garis kedutan wajah yang serius memerlukan rawatan dengan pakar dermatologi, namun sesetengah masker wajah dapat membantu mengurangkan penampakan garis halus pada wajah.

Vitamin C adalah bahan yang diperlukan. Sebagai antioksidan, ia dapat meningkatkan penghasilan kolagen untuk membantu menganjalkan kulit.

Vitamin E juga berperanan dalam mencegah penuaan bersama gabungan bahan lain seperti resveratrol dan asid ferulik – berfungsi untuk melindungi kulit daripada garisan halus disebabkan pencemaran dan sinaran matahari.

Kulit berminyak

Sebarang bahan yang berfungsi untuk menyingkirkan minyak berlebihan dan mengurangkan penyumbatan liang pori adalah terbaik untuk kulit berminyak.

Dapatkan masker wajah yang mengandungi bahan seperti:

  • Asid salisilik
  • Asid gliserol
  • Sulfur
  • Arang

Jika mahukan sesuatu yang semula jadi, bahan seperti yogurt dan nanas pilihan yang boleh anda pertimbangkan.

Jenis masker muka

Berikut adalah 5 jenis masker wajah popular yang boleh dicuba.

Lumpur

Sesuai untuk semua jenis kulit, masker muka jenis lumpur ini dapat memberikan proses pembersihan mendalam pada kulit.

Walaupun ia tampak sama seperti masker tanah liat, namun ia berasaskan lumpur yang menjadikannya lebih hidrat.

Kandungan masker lumpur adalah bergantung kepada formulanya dan anda mungkin dapat melihat pelbagai jenis asid serta ekstrak buah-buahan dalam senarai kandungan bahan.

Tanah liat

Masker muka tanah liat adalah sangat baik dalam menyegarkan kulit kerana mengandungi mineral yang tinggi.

2 jenis masker tanah liat – kaolin dan bentonit – membantu menyerap minyak berlebihan dan sesuai untuk kulit berminyak dan berjerawat.

Arang

Tidak banyak bukti untuk mengesahkan manfaat masker arang. Tetapi arang aktif boleh menyerap toksin dalam badan. Jadi ia dikatakan dapat menyingkirkan kotoran daripada permukaan kulit wajah.

Peel-off

Masker jenis ini sesuai untuk individu yang tidak gemarkan kekotoran. Ia sesuai untuk setiap jenis kulit.

Sesetengah masker peel-off mengandungi asid seperti glikolik (glycolic) dan salisilik (salicylic) yang mempunyai fungsi pengelupasan dan mencegah jerawat.

Sheet

Merupakan antara jenis masker muka yang paling kerap menjadi pilihan ramai.

Mengandungi pelembap asid hyaluronik, ceramida yang membantu memulihkan lapisan penghalang kulit serta antioksidan yang melawan radikal bebas.

Sumber: Hello Doktor