Sifat 20 Allah & Maksudnya

Dalam artikel ini kami akan kongsikan info mengenai Sifat 20 Allah & kepentingannya

Lain: Asmaul Husna : Senarai 99 Nama-Nama Allah

Sifat-Sifat Allah

Untuk mencintai Allah dengan lebih mendalam, adalah penting dan WAJIB bagi kita sebagai hambaNya untuk mengenal sifat-sifat-Nya. Sifat-sifat Allah mencerminkan kebesaran, keadilan, dan kasih sayang-Nya terhadap seluruh makhluk-Nya.

Sifat 20 Allah & Maksudnya

Berikut adalah sifat-sifat Allah beserta maksudnya.

Wujud

Sifat wujud merujuk kepada Diri (Zat) Allah yang ada. Zat Allah itu ghaib dan tidak boleh dilihat makhluk hingga ke akhirat. Hanya ahli Syurga sahaja yang akan dapat  melihat Allah dengan mata sendiri. Inilah nikmat terbesar yang dijanjikan Allah untuk hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Zat Allah yang ghaib itu wujud. Dikatakan bahawa sifat nafsiah ini tidak maujud (tidak ada) pada mata iaitu tidak dapat dilihat mata kasar. 

Namum ia maujud (ada) pada akal iaitu akal dapat menerima bahawa Zat Allah itu wujud. Jika Allah tidak wujud ertinya Allah itu bersifat adam (tiada). Ini adalah mustahil pada akal kerana tidak mungkin alam terjadi tanpa ada yang menjadikannya. 

Allah lah yang menjadikan alam semesta. Ia merupakan bukti utuh akan kewujudan Allah SWT sebagai Pencipta segalanya. 

Sifat Allah : Qidam

Allah sedia adanya. Allah tidak ada permulaan. Allah tidak dijadikan. Allah tidak dari sesuatu. Sifat qidam menafikan dan menolak bahawa Allah itu ada permulaan (dari tidak ada menjadi ada) atau Allah dijadikan dari sesuatu.

Baqa’

Allah adalah kekal. Allah tidak berubah. Allah tidak akan musnah. Sifat baqa’ menafikan dan menolak bahawa Allah itu berubah iaitu dari tiada menjadi ada, atau dari kecil menjadi besar, atau dari muda menjadi tua dan seterusnya. Sifat baqa’ juga menolak Allah ada kesudahannya (musnah). Allah tidak berubah maka Allah akan kekal berterusan tanpa awal tanpa akhir.

Mukhlafatuhu lil hawaditsi

Allah tidak bersifat baharu. Sifat baharu adalah sifat alam (makhluk). Allah tidak sama dengan makhluk. Maka sifat mukhalafatuhu lil hawadits menafikan dan menolak bahawa Allah bersifat sama dengan makhluk (alam).

Qiyamuhu Binafsihi

Allah berdiri dengan sendirinya bererti Allah tidak perlu kepada sesuatu. Allah tidak perlu kepada tempat. Allah tidak perlu kepada masa. Segala sesuatu adalah ciptaan Allah. Allah tidak perlu kepada apa yang diciptakanNya. Sifat kiamuhu binafsi menafikan dan menolak bahawa Allah perlu kepada sesuatu.

Wahdania

Allah itu esa atau tunggal. Tidak ada yang sama seperti Allah. Sifat wahdania menafikan dan menolak bahawa ada yang lain yang sama seperti Allah.

Qudrah

Qudrah ertinya berkuasa/penguasa. Sifat ini menunjukkan Allah lah yang maha berkuasa. Allah berkuasa mengadakan dan meniadakan tiap-tiap suatu tanpa memerlukan alat dan bahan. Adapun kita hendak membuat suatu memerlukan  bahan, seperti kerusi yang memerlukan kayu, dan lainnya. 

Iradah

Sifat iradah Allah ertinya Allah berkehendak dan pekehendak. Setiap sesuatu yang ada dan berlaku di dalam alam ini semuanya adalah kehendak dan kemahuan Allah bukan kerana terpaksa, tersalah, lalai dan lainnya. 

Ilmu

Sifat ilmu Allah bermaksud Allah mengetahui segala-galanya samada yang lepas, yang sedang dan yang akan datang, Dia mengetahui yang tersembunyi dan yang nyata, tidak ada suatu perkara yang terlepas dari pengetahuanNya.

Hayat

Hayat bermaksud hidup. Allah hidup tidak seperti hidup makhluk, Dia hidup tidak dengan perantaraan daging darah, bernafas dan sebagainya. HidupNya tiada permulaan dan kesudahan.

Sama’

Sama’ bermaksud Allah maha mendengar/pendengar. Allah mendengar tidak dengan gegendang telinga dan tidak dengan perantaran gelumbang bunyi. Berkata Imam Abu Hasan Asy’ari, “Allah mendengar yang bersuara dan yang tiada bersuara”.

Mustahil Allah SWT tuli / pekak (ىانص), tidak jelas pendengaranNya atau pendengaranNya ada had.

Basar

Basar bermaksud Allah maha melihat/pelihat. Penglihatan Allah tidak dengan mata, tidak  terdinding, dan tidak dengan perantara cahaya. Mustahil Allah buta atau kabur penglihatanNya atau pengelihatanNya terdinding.

Kalam

Kalam bermaksud berkata-kata yakni Allah berkata-kata tidak berhuruf, dan tidak bersuara. Allah SWT berkata-kata dengan sifat pekata yang ada pada zatnya, Dia tidak berkata-kata dengan mulut. Mustahil Allah bisu atau kelu yang membawa kepada kekurangan.

Qadiran

Qadiran ertinya Allah dalam keadaan berkuasa. 

Muridan

Muridan ertinya Allah SWT dalam keadaan berkemahuan/berpekehendak.

Aliman

Aliman ertinya Allah SWT dalam keadaan mengetahui.

Haiyan

Hayyan ertinya Allah SWT dalam keadaan hidup. 

Sami’an

Sami’an ertinya Allah SWT dalam keadaan mendengar.

Basiran

Basiran ertinya Allah SWT dalam keadaan melihat.

Mutakaliman

Mutakalliman ertinya Allah SWT dalam keadaan berkata-kata.

Pembahagian Sifat 20 Allah & Penjelasan 

Sifat Allah yang wajib diketahui dan dikenali ada 20 sifat. Ia terbahagi kepada 4 bahagian, iaitu:

  1. Sifat Nafsiah
  2. Sifat Salbiah
  3. Sifat Ma’ani
  4. Sifat Ma’nawiyah

Sifat Nafsiah

Sifat nafsiah merujuk kepada Diri (Zat) Allah. Sifat nafsiah ada 1 sahaja iaitu sifat Wujud.

Sifat Salbiah

Sifat Salbiah menolak atau menafikan sifat-sifat yang tidak layak pada Diri Allah. Sifat salbiah ada 5, iaitu:

  1. Qidam – sedia ada
  2. Baqa’ – kekal
  3. Mukhalafatuhu lil hawadits – tidak sama dengan yang baharu
  4. Qiyamuhu binafsihi – berdiri dengan sendirinya
  5. Wahdania – esa

Sifat salbiah itu tidak maujud (tidak ada) pada mata ertinya tidak dapat dilihat kesannya dengan mata kasar. Sifat Salbiah juga tidak maujud (tidak ada) pada akal ertinya tidak dapat difahami dan difikirkan akal.

Sifat-sifat salbiah yang 5 ini tidak memberi kesan pada alam maka mata makhluk tidak dapat melihatnya. Sifat-sifat salbiah yang 5 ini tidak ada (mustahil ada) pada makhluk (alam). Sesuatu yang mustahil ada pada alam tidak akan dapat difikirkan akal kerana akal adalah alam. Akal tidak dapat berfikir sesuatu yang di luar alam.

Sifat Ma’ani

Sifat ma’ani ialah sifat-sifat Allah yang maujud (ada) pada mata dan maujud (ada) pada akal. Ertinya sifat-sifat ma’ani dapat dilihat oleh mata kesan-kesannya di alam ini dan dapat difikirkan dan diterima akal. 

Sifat-sifat ma’ani ada 7 iaitu:

  1. Qudrah – berkuasa
  2. Iradah – berkehendak
  3. Ilmu – mengetahui
  4. Hayat – hidup
  5. Sama’ – mendengar
  6. Basar – melihat
  7. Kalam – berkata-kata

Kejadian pada alam ini adalah tanda atau kesan dari sifat-sifat ma’ani yang tujuh-tujuh ini. 

Adanya alam ini adalah tanda kekuasan Allah. Allah berkuasa melakukan apa yang dikehedakiNya. Menjadikan alam adalah kehendak Allah. Alam dapat dilihat oleh sekalian manusia.

Kehebatan ciptaan alam adalah tanda bahawa ia dijadikan oleh yang maha tinggi ilmu pengetahuannya. Yang menjadikan alam tentunya hidup mustahil mati. 

Segala bunyi-bunyian dan berbagai jenis suara adalah tanda yang mencipta bunyi dan suara itu adalah maha mendengar kerana mustahil bagi yang tidak boleh mendengar dapat mencipta bunyi dan suara yang tidak terbatas bilangannya. 

Segala rupa bentuk dan warna-warni pada alam adalah tanda yang menjadikan alam adalah maha melihat kerana yang tidak boleh melihat mustahil boleh mencipta bentuk dan warna yang tidak terbilang banyaknya.

Alam sentiasa bergerak dengan tepat dan jitu. Setiap hari matahari akan terbit dari timur dan terbenam di arah barat. Siang dan malam silih berganti tanpa henti. Awan menurunkan  hujan. Bumi dan lautan mengeluarkan berbagai jenis makanan untuk manusia. Dan berbagai lagi kejadian yang sentiasa berlaku di sekeliling kita tanpa kita sedari. 

Ini semua adalah tanda sifat kalam Allah itu Allah sentiasa berkata-kata (mengeluarkan perintah) kepada alam supaya berfungsi dan bergerak dengan taat.

Tanda-tanda alam ini adalah kesan dari sifat-sifat ma’ani Allah yang 7. Ia dapat dilihat dengan terang dan jelas oleh mata dan akal juga dapat menerima sifat-sifat ma’ani kerana mustahil bagi yang mencipta alam tidak berkuasa, tidak berkehendak, tidak ada ilmu, tidak hidup, tidak mendengar, tidak melihat dan tidak berkata-kata.

Sifat Ma’nawiyah

Sifat ma’nawiyah adalah sifat yang menegaskan sifat-sifat ma’ani ada pada Diri (Zat) Allah bukan pada panca indera atau perantaraan. 

Maka apabila dikatakan Allah itu melihat ertinya yang melihat adalah Diri Allah bukan mata Allah. Diri Allah yang mendengar bukan telinga Allah. Diri Allah yang berkata-kata bukan lidah atau suara Allah.

Diri Allah yang berkehendak dan Diri Allah yang berkuasa untuk melaksanakan kehendakNya tanpa perlu kepada sesuatu pertolongan atau perantaraan. 

Diri Allah hidup tanpa perlu kepada pernafasan dan tidak perlu makan dan minum. Diri Allah mengetahui setiap sesuatu tanpa perlu kepada ilmu pengetahuan.

Sifat ma’nawiyah adalah sifat-sifat Diri (Zat) Allah. Diri Allah adalah ghaib dan tidak dapat dilihat mata. Maka sifat ma’nawiyah tidak maujud (tidak ada) ada pada mata ertinya tidak boleh dilihat mata tetapi ia maujud pada akal iaitu ia dapat diterima akal.

Sifat ma’nawiyah ada 7 iaitu:

  1. Kaunuhu Qadiran – keadaan Diri Allah Berkuasa
  2. Kaunuhu Muridan – keadaan Diri Allah Berkehendak
  3. Kaunuhu Aliman – keadaan Diri Allah Mengetahui
  4. Kaunuhu Haiyan – keadaan Diri Allah Hidup
  5. Kaunuhu Sami’an – keadaan Diri Allah Mendengar
  6. Kaunuhu Basiran – keadaan Diri Allah Melihat
  7. Kaunuhu Mutakalliman – keadaan Diri Allah Berkata-kata

Diharapkan info sifat-sifat Allah di atas ini dapat memberikan anda maklumat baru yang berguna

Sumber: Sifat 20:  Pengenalan Kepada Sifat-sifat Allah & Kepentingannya (ecentral.my)