Iklan Raya Petronas 2020 Membawa Kelainan, Hadir Dalam Bentuk ‘Anime’

Pada setiap tahun, Petronas seringkali dipuji kerana menghasilkan iklan raya yang menarik dan menyentuh hati. Namun pada tahun ini, berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyukarkan aktiviti pengambaran, Petronas membawa sedikit kelainan dengan menghasilkan iklan dalam bentuk seakan ‘anime‘ Jepun yang diberi tajuk Antara Dua Jendela.

Iklan raya tersebut mengisahkan tentang Pak Tam yang berjiran dengan Mak Teh. Berikutan dengan ahli keluarga Pak Tam yang sedikit berbanding Mak Teh, sambutan hari raya di rumah Mak Teh pada setiap tahun lebih meriah membuatkan Pak Tam cemburu.

Bagi menjaga hati Pak Tam dan tidak mahu Pak Tam berasa kesunyian, Mak Teh seringkali cuba untuk bermesra dengan Pak Tam dengan berjenaka untuk meminta gula namun Pak Tam tidak melayan jenaka tersebut.

Sehinggalah pada tahun 2020 dimana atas faktor PKP yang tidak membenarkan pergerakan merentasi negeri, Pak Tam dan Mak Teh terpaksa beraya bersendirian. Apabila melihat Mak Teh keseorangan, Pak Tam membawakan Mak Teh gula yang bertahun lama diminta olehnya.

Iklan raya tersebut membuatkan ramai netizen terhibur dan mereka turut memuji Petronas kerana berjaya menghasilkan iklan yang menyentuh hati walaupun iklan tersebut hadir dalam bentuk ‘anime’ yang berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.

Leave a Comment