Pawagam Drive-In Pertama Di Malaysia Bakal Dibuka; Ini Beberapa Perkara Anda Perlu Tahu

Buat pertama kalinya di Malaysia, pawagam berkonsepkan pandu masuk (drive-in cinema) akan dibuka di KL bermula 15 Julai 2020 ini.

Bagi yang tidak tahu, pawagam pandu masuk adalah pawagam di mana anda boleh menonton filem hanya dari kereta anda sahaja. Anda tidak perlu untuk mencari parking kereta, kemudian masuk ke pawagam dan dan duduk di kerusi mengikut nombor di tiket yang anda beli.

Konsep pawagam pandu masuk ini amatlah popular di luar negara. Syarikat M-Junction bersama TwoSpicy Entertainment Live dan MD Events Asia bertanggungjawab disebalik pawagam pandu masuk pertama di Malaysia ini.

https://www.instagram.com/p/CCDT2yxlX_s/

Menurut laporan Rojak Daily, drive-in cinema yang bakal dilancarkan pada 15 Julai 2020 di Kuala Lumpur ini akan menayangkan filem-filem tempatan dan antarabangsa sama ada filem baru atau lama. Idea pawagam konsep ini juga turut mendapat sokongan dari kerajaan tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan.

Sebelum anda menikmati pengalaman baru ini, berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenai menonton filem dari pawagam pandu masuk;

Hidup atau matikan enjin kereta

Di luar negara, ada drive-in cinema yang membenarkan penonton menghidupkan enjin kereta semasa filem ditayang supaya aircond boleh dibuka untuk mengelakkan rasa panas.

Namun begitu ada juga pawagam yang tidak membenarkan anda berbuat demikian untuk mengelakkan asap dan bunyi kenderaan yang akan menganggu penonton lain. Untuk menyelesaikan masalah ini, kebiasaannya penonton akan membawa kerusi lipat sendiri dan menonton filem dari luar kereta.

Tiada maklumat jelas mengenai SOP yang bakal dilaksanakan di pawagam pandu masuk pertama di Malaysia nanti, tetapi menurut kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan Keselamatan), antara SOP yang mesti dipatuhi adalah penonton dikehendaki berada di dalam kenderaan masing-masing.

Ini bermaksud kemungkinan besar anda perlu menghidupkan enjin kereta sambil menonton supaya aircond dapat dibuka dan anda tidak berapa panas. Jangan lupa untuk bawa selimut sekali atau pakai pakaian yang tebal untuk mengelakkan rasa sejuk.

Suara dari filem didengari melalui frekuensi FM radio

Kebanyakkan drive-in cinema di luar negara memerlukan anda untuk membuka radio FM dan mengubah frekuensi mengikut tetapan penganjur untuk mendengar suara dari filem.

Ini bermaksud kualiti suara dari filem berbeza-beza mengikut kualiti sistem audio kereta anda. Anda mungkin tidak dapat merasai kualit suara sama seperti di pawagam biasa.

Pemeriksaan kereta oleh sekuriti sebelum masuk pawagam pandu masuk

Disebabkan oleh polisi beberapa pawagam yang tidak membenarkan makanan luar untuk masuk ke pawagam pandu masuk, kereta-kereta yang bakal memasuki pawagam akan diperiksa terlebih dahulu oleh sekuriti.

Menurut SOP yang ditetapkan oleh keraejaan, penjualan makanan di pawagam pandu masuk perlu dibuat secara dalam talian dan mengambil makanan tersebut secara pandu lalu. Anggota RELA akan ditugaskan untuk pemeriksaan sekuriti sebelum memasuki pawagam.

Kualiti skrin pawagam pandu masuk tidak sehebat pawagam biasa

Kemungkinan besar kualiti skrin drive-in cinema ini mempunyai resolusi yang rendah dimana ianya tidak sama dengan kualiti dari pawagam biasa. Filem-filem aksi tidak digalakkan untuk ditonton dari pawagam pandu masuk kerana kualiti CGI dan kepantasan aksi filem akan menjadi kurang jelas.

Sebaliknya, filem-filem yang mempunyai banyak scene bercakap berbanding aksi seperti drama atau komedi lebih sesuai ditonton di drive-in cinema.

Sumber: Rencah

Leave a Comment