Resepi Rendang Ayam Sedap

Dalam artikel kali ini kami akan kongsikan resipi rendang ayam oleh Che Nom yang sedap dan punyai kuah yang wangi kerana menggunakan bahan-bahan rempah ratus yang segar, dikisar halus dan ditumis sehingga masak dengan sempurna.

Hirisan daun kunyit dan daun limau purut pula menambahkan lagi keistimewaan rasa pada rendang ini. Kalau nak lebih sedap, gunakan santan dari kelapa segar. Di pasar ada jual santan segar yang sudah diperah pada harga yang berpatutan.

Resipi Rendang Ayam

Bahan-Bahan

  • 1 ekor ayam (saiz besar)
  • 1 senduk cili kisar
  • 1 mangkuk besar santan pekat
  • 1/2 mangkuk kecil ais asam jawa
  • 3 sudu besar kerisik
  • 2 helai daun kunyit
  • 2 helai daun limau purut
  • garam dan gula secukup rasa
  • 1 mangkuk besar minyak, untuk menumis

Bahan-Bahan Rempah Tumis

  • 2 batang kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 5 biji buah pelaga

Bahan-Bahan Kisar Halus

  • 1 biji bawang besar
  • 8 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 3 ketul kunyit hidup
  • 2 inci lengkuas
  • 2 batang serai

Cara Masak Rendang Ayam

Cara buat rendang ayam adalah seperti berikut:

  1. Bersihkan ayam dan toskan.
  2. Panaskan minyak dan tumis bahan rempah tumis, bahan kisar halus dan cili kisar. Kacau perlahan dan masak sehingga pecah minyak dan garing. Warna bahan tumisan akan bertukar menjadi sedikit gelap.
  3. Masukkan pula ayam dan biarkan masak selama 5-10 minit. Air ayam akan keluar sedikit semasa proses ini.
  4. Masukkan santan pekat dan air asam jawa. Kacau perlahan-lahan di atas api sederhana sehingga kuah menjadi pekat.
  5. Masukkan kerisik, daun kunyit dan daun limau purut. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  6. Tabur dengan hirisan daun kunyit sebagai hiasan.

Tips Masak Rendang Ayam

  • Jika anda takut ayam menjadi hancur, boleh keluarkan ayam yang sudah masak dan masak kuah sehingga menjadi pekat.
  • Untuk gula pula, boleh gunakan gula melaka sebagai ganti dan rasanya memang sangat sedap.

Sumber: Resepi Che Nom