Sijil SPM Hilang? Dapatkan Semula Secara Walk In Atau Pos Dengan Mudah

Apabila sijil SPM hilang akan cukup merisaukan seseorang itu berbanding kehilangan sijil-sijil kokurikulum lain. Hal ini kerana sekiranya anda ingin memohon kerja kerajaan sebagai pejawat awam, anda wajib sertakan salinan sijil SPM beserta dengan resume anda.

Bukan hanya sijil SPM sahaja, sijil-sijil peperiksaan penting seperti sijil peperiksaan PMR dan sijil peperiksaan UPSR haruslah disimpan elok di tempat yang selamat dan mudah dicari.

Cara Mohon Kad Pengenalan Haiwan Kucing Peliharaan Anda

Permohonan Salinan Sijil SPM Hilang

Sekiranya anda mempunyai masalah dengan sijil SPM hilang, anda tidak perlu risau kerana terdapat tiga (3) cara mudah menerusi Permohonan Salinan Sijil Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan (LP) yang anda boleh lakukan seperti berikut untuk dapatkan semula sijil tersebut.

Walk In Ke Lembaga Peperiksaan

Anda yang hilang sijil SPM boleh hadir sendiri ke kaunter sijil yang terletak di Lobi Utama, Aras Bawah, Blok E11, Lembaga Peperiksaan, Putrajaya dengan membawa bersama kad pengenalan diri dan salinan keputusan (jika ada).

salinan sijil spm hilang

Isi borang Borang Permohonan Salinan Keputusan LP/SIJIL/Pin 1.06. Isi borang tersebut kemudian ambil nombor dan tunggu giliran untuk hantar borang ke kaunter semakan. Contoh Borang Permohonan Salinan Keputusan seperti berikut boleh didapati di sini.

borang sijil spm hilang
sijil spm hilang borang

Selepas selesai di kaunter semakan, nombor giliran akan dipanggil untuk membayar RM30 di kaunter pembayaran. Pastikan tunggu sehingga dapat resit pembayaran.

Selepas selesai pembayaran, tunggu nombor giliran yang sama memanggil untuk mendapatkan salinan sijil SPM.

Mewakili Pihak Ketiga (Ibu Bapa/Suami/Isteri/Anak)

Sekiranya anda tidak dapat hadir ke Lembaga Peperiksaan, Putrajaya, anda boleh melantik wakil secara bertulis yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat.

Wakil yang dilantik perlu membawa bersama Surat Pelantikan Wakil yang ditandatangani oleh pemohon berserta salinan kad pengenalan pemohon yang telah disahkan. Contoh Surat Pelantikan Wakil seperti berikut boleh didapati di sini.

Contoh Surat Pelantikan Wakil Lembaga Peperiksaan

Permohonan melalui orang perseorangan, agen atau syarikat tertentu tanpa Surat Pelantikan Wakil tidak dibenarkan.

Permohonan Salinan Sijil SPM Hilang Melalui Pos

Atas sebab-sebab tertentu, anda yang tidak boleh ke Lembaga Peperiksaan, Putrajaya, boleh membuat pemohonan melalui pos dengan cara mengisi lengkap dan menghantar Borang Permohonan Salinan Keputusan LP/SIJIL/Pin 1.06 beserta salinan Kad Pengenalan ke:

PENGARAH PEPERIKSAAN
LEMBAGA PEPERIKSAAN
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
ARAS 10, BLOK E 11, KOMPLEKS E
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62604 PUTRAJAYA

Anda digalakkan menyertakan sampul pos ekspress beralamat sendiri bagi tujuan penghantaran semula salinan pernyataan keputusan peperiksaan ke rumah anda.

Kredit Gambar: Mawardi Yunus, Twitter (@adib_shah)

Leave a Comment